"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mimpi bertemu TG Nik Aziz

SUBKY LATIF

SAYA tidak pasti di lokasi mana dan dalam peristiwa apa? Tetapi seperti dalam perhimpunan ramai PAS. TG Nik Aziz tidak duduk di tempat utama pentas PAS. Beliau duduk di tempat biasa orang kebanyakan. Tidak ramai orang di tempat duduk itu tetapi ramai orang lalu lalang di sekitarnya.

Mohamad Sabu yang jarak serantai dari saya memanggil saya menunjuk arah tempat TG duduk, ‘Tok Guru Nik Aziz,’ katanya. Dia tidak pergi, tetapi saya pergi mendapatkan Tok Guru.

Tok Guru sudah melihat saya dari jauh datang mendapatkannya. Beliau nampak ceria dan sentiasa tersenyum menunggu saya tiba. Saya memberi salam dan bersalam. Dia terus mengukir senyum. Saya menegur dan bercakap dengannya tetapi saya tidak perasan dia berkata-kata biasa seperti selalu kami berjumpa. Yang saya ingat beliau tidak lekang dengan senyum.

Saya tidak menziarahinya pada hari kematiannya dan saya belum menziarahi pusaranya. Itulah pertemuan pertama saya di alam roh dengannya.

Saya amat mengantuk selepas solat Subuh Jumaat lalu 17 April. Saya merebahkan diri sebelum hari cerah. Masa itu saya berjumpa Tok Guru. Rupanya saya mimpi. Saya syukur mimpi dapat bertemu dengannya. Bukan selalu kita dapat bertemu orang mulia yang sudah mati melainkan dengan izin Allah.

Saya rasa amat selesa dengan mimpi pagi Jumaat, penghulu segala hari dapat bertemu dengan orang yang semua hormati. Jika boleh bukan sekadar bertemu di alam mimpi. Biarlah selalu hendaknya bertemu di alam roh nanti. Amin!

Dia berpakaian serba putih. Berserban putih, berbaju putih. Saya tidak pasti bajunya jubah atau baju Melayu. Tetapi memang berpakaian putih.

Mukanya tegang. Tidak berkedut kurus seperti selalu saya jumpanya. Badannya berisi, bukan gemuk. Tetapi tidak kurus lagi. Sedap dipandang, seperti memandang orang sihat.

Saya rasa kagum semasa bertemu itu. Orang lain yang datang bertemu dan bersalam dengannya juga terpesona dengan pandangan sihatnya itu. Selalunya dia kurus dan sentiasa uzur. Macam mana dia nampak sihat dan badannya berisi?

Saya sentuh tangannya. Saya tekan dan picit anggota tubuhnya. Rasa sedap dipegang. Orang lain yang menemuinya juga berbuat seperti saya. Tentulah sentuhan itu bagi menyatakan syukur kerana dianugerah kesihatan yang baik.

Saya terus bersamanya.

Sebelum mimpi itu berakhir, saya menyaksikan dia makan. Macam biasa orang makan tengah hari atau malam. Bukan makan ringan. Makan berat.

Nampak beliau amat berselera. Sekali lagi saya kagum dengan makannya yang beselera. Dia bukanlah orang kuat makan. Makannya sikit atau orang tak banyak makan. Jarang bertambah.

Apa yang saya lihat, banyak dia makan. Mungkin itulah agaknya yang menjadikan badannya berisi.

Saya beritahu anak saya, Tok Guru makan banyak daripada biasa. Anak saya kata, ia bayangan kebahagiannya. Berselera di akhirat adalah lebih baik daripada berselera di dunia. Ia tanda rezekinya lebih murah di akhirat daripada di dunia.

Masa itu saya bertanya diri sendiri, bagaimana orang yang selalu saya lihat uzur dan kurus boleh kelihatan sihat dan berisi? Ia adalah penglihatan dalam mimpi. Dan mimpi saya jika tidak dicelah syaitan, diharap adalah bayangan kebahagiannya di alam akhirat. Moga-moga kita semua dapat jadi sepertinya, dicurahi rahmat daripada Allah.

Tiada ulasan: