"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Rompin: Keputusan Tak rasmi BN menang majoriti merosot

Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN memenangi pilihan raya kecil Rompin dengan memperoleh undi majoriti lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2013.

Dalam pilihan raya kecil hari ini, Bernama melaporkan calon BN Datuk Hasan Arifin memperoleh 23,627 undi berbanding Ketua Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad yang menerima 14,871 undi, Kedua-dua mereka dipisahkah dengan 8,756 undi majoriti.

Berdasarkan bandingan, perolehan semasa menunjukkan PAS mengekalkan undi yang diperoleh parti itu pada 2013, manakala BN 'kehilangan' hampir separuh undi majoriti.

Dalam pilihan raya umum 2013 calon BN ketika itu, Tan Sri Jamaluddin Jarjis memperoleh 30,040 berbanding calon PAS, Nuridah Salleh 14,926. Majoriti untuk BN ialah 15,114 undi.

Bagaimanapun peratusan keluar mengundi dipercayai menyumbang kepada keputusan hari ini.

Dalam PRU ke-13, 85.89 peratus daripada keseluruhan 53,596 pengundi berdaftar keluar mengundi, manakala hari ini ialah kira-kira 72 peratus.

Pianggu berubah

Ada dua isu besar mendominasi kempen pilihan raya umum ini, iaitu hudud dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pada masa sama, BN bersungguh-sungguh mahu menunjukkan prestasi terbaiknya ketika kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak berdepan kritikan pedas dan berterusan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad serta penyokongnya.

Sementara itu satu sumber menyatakan ada satu pusat pembuangan undi 100 peratus Melayu menunjukkan perubahan drastik kali ini.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu pusat pembuangan undi Pianggu memihak kepada BN namun keadaan bertukar menjadi sebaliknya pada hari ini.

Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan berapa jumlah undi diperoleh kedua-dua calon.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: