KUALA LUMPUR: Seorang bekas guru swasta dijatuhi hukuman penjara dua bulan Mahkamah Majistret kerana mencuri dompet seorang wanita yang sedang menunaikan solat di sebuah surau.
Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman itu terhadap Haminah Mat Hussin, 28, selepas dia mengaku bersalah mencuri dompet Wan Nor Hapsah Daud, 32, yang mengandungi wang tunai RM300 dan dokumen peribadi di surau aras 4 Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS), Cheras di sini, pada 4.50 petang, 4 Mei lepas.
Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, 4 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Menurut fakta kes, mangsa menyedari beg dompetnya dicuri selepas dia menunaikan solat Asar di surau itu dan tertuduh berjaya ditangkap selepas siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia membuang dompet itu ke dalam tong sampah.
Ketika rayuan, Haminah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda dengan alasan beliau melakukan kesalahan itu atas desakan hidup kerana baru berhenti kerja dan perlu membayar sewa rumah dan kereta.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistaman memohon mahkamah mengenakan hukuman dalam bentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan