"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muktamar Pemuda: Masa untuk 'menghina'?

Bahang 'perang' menjelang muktamar PAS bulan depan semakin panas apabila senarai rasmi diumumkan Ketua Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi hari ini.

Tanpa pengumuman rasmi dibuat mengenai pertembungan kumpulan proulama dan bukan ulama, pola pencalonan yang dibuat seluruh PAS kawasan setakat ini menunjukkan ia semakin tidak terkawal.

Untuk Pemuda PAS misalnya, ketuanya Suhaizan Kaiat turut dicalonkan sebagai pemeriksa kira-kira - suatu langkah yang sebenarnya boleh dianggap menghina atau sekurang-kurangnya tidak serius.

Turut dicalonkan untuk jawatan itu ialah menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Mohamad yang lantang dalam gerakan 'mempertahankan' kumpulan ulama, serta 'sekutunya' yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah.

Mohd Yusni (gambar) baru-baru ini menjadi perhatian kerana berkeras enggan menggerakkan anggotanya membantu PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Nama Suhaizan turut dicalonkan sebagai Timbalan Pengerusi Tetap bersama bekas Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Dalam perkembangan sama, perwakilan di peringkat kawasan juga menunjukkan kecenderungan membawa semula Nik Abduh Nik Abdul Aziz ke dalam Pemuda PAS.

Nik Abduh pun ada

Berdasarkan senarai yang diedarkan hari ini, nama Nik Abduh dicalonkan untuk bertanding bagi jawatan ketua pemuda bersama anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil (kini naib ketua kepada Suhaizan).

Nik Abduh - memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-13 lalu - adalah Naib Ketua Pemuda PAS ketika sayap itu diketuai Nasrudin bagi sesi 2011 - 2013.

Sementara itu ketika dihubungiMalaysiakini, Suhaizan berkata, dia tidak berasa apa-apa dengan pencalonan namanya sebagai pemeriksa kira-kira.

"Sebelum ini pun ada juga ulama atau pemimpin atasan yang dicalonkan untuk jawatan seperti itu," katanya.

Suhaizan berkata, antara tokoh utama PAS yang dicalonkan sebagai pemeriksa kira-kira ialah Datuk Husam Musa, Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.

Mengenai percaturannya dalam pemilihan bulan depan, Suhaizan masih enggan mendedahkan sebarang keputusan, kecuali mengesahkan hanya akan bertanding untuk satu jawatan saja.

"Tunggulah, nanti saya akan umumkan," katanya.

Bagi Dewan Muslimat PAS pula, bekas ketua sebelum ini, Nuridah Salleh cuba dibawa masuk untuk mencabar penyandang Siti Zailah Mohd Yusoff.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: