"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ke mana pergi ratusan ribu penyokong RUU 355? (Gambar)

ARIF ATAN
Suasana dewan di Kompleks Sukan Pandamaran lengang walaupun Ceramah Perdana Pas itu dihadiri pemimpin peringkat pusat
Suasana dewan di Kompleks Sukan Pandamaran lengang walaupun Ceramah Perdana Pas itu dihadiri pemimpin peringkat pusat
Lebih banyak kerusi kosong kelihatan walaupun dihadiri pemimpin Pas Pusat. Itu situasi yang berlaku dalam Ceramah Perdana Pas di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang di Selangor malam tadi.

Beberapa foto program itu yang difahamkan setakat pukul 10.30 malam turut tular di media sosial manakala semakan Malaysia Dateline pagi ini di laman rasmi Facebook Pas Kawasan Klang mendapati tiada langsung foto hadirin dimuat naik.

Hanya wajah Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dan Ketua Penerangan parti itu, Nasrudin Hassan berjumlah tujuh foto kesemuanya disiarkan walaupun poster program turut memaklumkan kehadiran Naib Presiden, Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor.

Walaupun Pas sebelum ini menguar-uarkan ratusan ribu pengikutnya hadir pada himpunan menyokong Rang Undang-undang (RUU) 355 di Kuala Lumpur bulan lalu tetapi sokongan yang sama dilihat tidak wujud pada program Pas di negeri Pakatan Harapan itu.

Pada hari yang sama, suasana Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Selangor di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya pula dilihat jauh berbeza.

Dihadiri ahli dan penyokong Amanah berbilang kaum sesuai dengan demografi pilihan raya di kawasan tersebut, dewan di Jalan Pandamaran Jaya 7 pada pagi semalam dibanjiri warna jingga dalam program yang dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Turut hadir Naib Presiden, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus; Ketua Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Dr Hatta Ramli; Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim; Pengarah Pilihan Raya Amanah Selangor, Cikgu Jaafar Shamsuddin serta para pemimpin Amanah negeri berkenaan.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir bakal menyaksikan penampilan sulung Amanah sebagai parti Islam menggantikan Pas dalam gabungan Pakatan Harapan menentang Umno-BN dan mana-mana parti yang bersekongkol dengan rejim kleptokrat itu.

Amanah sebelum ini memutuskan akan meletakkan calonnya di semua kerusi Pas tandingi pada PRU-14 memandangkan kedudukan parti dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang bukan rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.

Pas yang secara terbuka turut memusuhi DAP dalam reaksinya pula mengecam pendirian Amanah itu dengan menganggap kerusi yang ditandinginya sebelum ini sebagai "kerusi tradisi" walaupun kalah.

Di Selangor, kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri (Dun) menyaksikan Pakatan Harapan (PKR-Amanah-DAP) menguasai 30 kerusi manakala Pas 13, BN 12 dan Bebas 1 kerusi.

Amanah di negeri itu mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) serta tiga Ahli Parlimen terdiri daripada Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Khalid Abd Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya dibanjiri warna oren pagi semalam
Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya dibanjiri warna oren pagi semalam

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, sokongan pengundi Cina untuk Pas di Selangor meningkat kepada 70.3 peratus berbanding 42.9 peratus pada PRU-12 (2008) sekaligus menyumbang kepada pertambahan daripada lapan kepada 15 kerusi Dun.

Walau bagaimanapun, banyak pihak menjangkakan senario itu tidak lagi berlaku pada PRU-14 ekoran sikap kepimpinan Pas yang istiqamah mesra kepada Umno-BN tetapi pada masa menyerang Amanah dan Pas yang merupakan gabungan Pakatan Harapan.

Antaranya, analisis akhbar harian Cina, Oriental Daily baru-baru ini meramalkan Pas Selangor bakal kehilangan sekurang-kurangnya 10 kerusi Dun dengan lapan daripadanya mempunyai jumlah pengundi Cina kira-kira 30 peratus iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
Hanya foto Nasrudin Hasan dan Hashim Jasin disiar dalam Facebook Pas Kawasan Klang tanpa memperlihatkan audiens
Hanya foto Nasrudin Hasan dan Hashim Jasin disiar dalam Facebook Pas Kawasan Klang tanpa memperlihatkan audiens

Tiada ulasan: