"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

10 petanda ekonomi Malaysia KO

AMRAN AHMAD NOR Pada tahun 2009, kita digembar-gemburkan dengan pelaksanaan program transformasi ekonomi (ETP) diiringi program transformasi kerajaan (GTP) yang menyasarkan negara pada landasan betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

GTP dan ETP dikatakan berdasarkan prinsip inklusif atau keterangkuman dan mampan yang mampu menjurus kepada kehidupan rakyat yang lebih berkualiti selain meningkatkan pertumbuhan pelaburan sektor swasta.

Namun, hari ini selepas sekitar tujuh tahun pelaksanaan kedua-dua program tersebut, rakyat kian mengadu, mengeluh mengenai 'kejayaan ekonomi negara' yang tidak dirasai walaupun kerajaan berikrar untuk mendengar denyut nadi rakyat.

Walaupun Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia semalam mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus dengan mengumumkan kadar inflasi menurun kepada 3.9 peratus pada bulan Mei, keadaan tersebut seperti tidak membawa apa-apa makna.

Petanda pertama hingga ketiga

Pertamanya, kebanyakan rakyat Malaysia yang 90 peratus daripada terdiri daripada golongan makan gaji tidak lagi mampu bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang melonjak secara tidak terkawal.

Ekonomi rakyat tidak 'semakmur' ekonomi negara setelah kemampuan berbelanja menjadi semakin menipis saban hari. Ia bersangkut-paut dengan faktor kedua yang menunjukkan ekonomi negara adalah tidak sihat iaitu kadar inflasi yang pernah meledak kepada 5.1 peratus kira-kira tiga bulan yang lalu.

Lebih merunsingkan agensi penarafan RAM Rating Services Bhd menaikkan unjuran inflasi bagi tahun ini kepada 3.8 peratus daripada 3.0 peratus pada asalnya, berdasarkan kepada momentum pemulihan harga minyak yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama.

Ini membawa makna bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bergerak seiring dengan kenaikan inflasi yang akan menterjemah kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lebih mahal di masa depan.

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) turut menyumbang kepada petanda ketiga keadaan semasa ekonomi Malaysia kerana ia menjadi petanda jelas kebergantungan negara kepada pendapatan minyak walaupun negara telah 60 tahun mencapai kemerdekaan.

GST diperkenalkan sebagai 'strategi penyelamat' bagi membendung kesan penurunan pendapatan negara ekoran penurunan harga minyak global, sekali gus, membawa mesej jika harga minyak mentah global meneruskan trend menurun, maka, lebih banyak barangan akan dikenakan cukai itu.

Faktor keempat hingga ketujuh

Faktor keempat yang menjurus kepada status semasa ekonomi tidak baik ialah paras gaji rakyat negara ini yang masih rendah.

Memetik Laporan Gaji dan Upah 2016 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, gaji penengah pekerja di Malaysia naik 6.2 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dengan gaji penengah pekerja tempatan yang tidak termasuk pekerja asing hanya meningkat tiga peratus sahaja pada tahun lepas.

Ini membawa makna bahawa pertumbuhan gaji warga asing mengatasi pekerja warga tempatan dan jika ditolak kadar inflasi, kenaikan gaji penengah pekerja tempatan tidak mencecah satu peratus atau dalam perkiraan yang lebih jelas, ini adalah peningkatan gaji bulanan sekitar RM17 sahaja.

Faktor kelima ekonomi Malaysia tidak memuaskan pula ialah prestasi ringgit yang menjadi mata wang paling teruk berbanding Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan jika dibandingkan dengan nilai pada tahun 2007.

Sejak tahun 2008, nilai ringgit mengalami penyusutan sebanyak 27.7 peratus sedangkan nilai matawang serantau naik 6.8 peratus secara purata.

Tempias skandal 1MDB

Lebih teruk lagi, kejatuhan nilai ringgit sebenarnya jauh lebih cepat berbanding mata wang lain semenjak The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan berita mengenai skandal 1MDB yang membabitkan dana yang dimasukkan ke akaun Malaysian Official 1 (MO1).

Selain itu, petanda keenam pula ialah keluhan Kongres Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mengenai penjawat awam di Malaysia yang memiliki hutang RM880 juta dan berdepan risiko untuk muflis.

Ekoran kenaikan kos sara hidup, kebanyakan penjawat awam dikatakan lebih cenderung membuat pinjaman bagi menampung keperluan harian dan perayaan di samping terdedah kepada penggunaan kredit kad tanpa kawalan, hutang koperasi, pinjaman peribadi bank dan 'berhutang dengan along' yang akhirnya membawa kepada risiko muflis.

Petanda ketujuh pula ialah suasana semasa sektor korporat tempatan yang menyaksikan firma yang pernah menjadi kebanggaan Malaysia iaitu Proton Holdings Berhad 'dijual' kepada firma dari China yang bakal menyaksikan kawalan pengurusan terutama dari aspek pemilihan vendor dan kakitangan dari bekas negara komunis itu yang jauh lebih murah.

Secara logik, apa perlunya Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd China untuk memilih vendor tempatan ataupun menggajikan pekerja tempatan sekiranya kos pembikinan komponen dan sistem penggajian adalah jauh lebih rendah jika mereka berbuat demikian di China dan mengambil pekerja warga sendiri.

Kesan pekerja Proton, bank

Perkembangan terbaru membabitkan Proton itu pastinya akan 'menyakitkan' para vendor dan kakitangan Proton yang mungkin terpaksa menutup perniagaan atau mencari pekerjaan baru dalam suasana prospek pekerjaan semasa ekoran kebanjiran warga asing yang lebih kompetitif.

Di samping itu, jika tidak diuruskan dengan menyeluruh, proses penggabungan bank-bank tempatan pastinya akan memberi kesan kepada para pekerjanya yang pastinya berdepan dengan tawaran Skim Pemberhentian Sukarela (VSS). Persoalannya, mahu kerja apa selepas VSS?

Petanda kelapan pula ialah prestasi kutipan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang secara langsung menunjukkan ketidakmampuan bekas pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk membayar pinjaman akibat tidak mendapat pekerjaan tetap atau gaji berpatutan dengan sijil.

Walaupun bukan semua atau tidak keterlaluan untuk menganggap bahawa majoriti peminjam PTPTN mahu membayar pinjaman di sebalik ketidakmampuan mereka, kekangan untuk mendapat pekerjaan tetap dengan upah berpatutan menyekat mereka daripada menjadi peminjam yang baik.

Dengan kos sara hidup yang meningkat serta keperluan hidup lain seperti melangsungkan perkahwinan dan menyara ibu bapa, mereka yang baru memulakan kehidupan selepas tamat pengajian berada dalam dilema untuk sama ada membeli keperluan asas atau membayar pinjaman PTPTN.

Masalah Uber, GrabCar dan teksi

Faktor kesembilan ekonomi Malaysia tidak baik ialah penemuan kajian oleh DAP baru-baru ini yang mendapati para pemandu Uber dan GrabCar tak semewah dahulu dengan 51 peratus daripada mereka kurang menjana pendapatan berbanding setahun yang lalu.

Ini belum termasuk masalah yang membelenggu para pemandu teksi tempatan seperti kos sewaan tinggi yang perlu ditanggung oleh mereka di bawah sistem teksi sedia ada yang secara langsung memberi kesan ke atas sekitar 80,000 pemandu teksi di seluruh negara.

Kesepuluh, ekonomi Malaysia juga tidak sihat kerana terlalu bergantung kepada pelaburan dari negara China yang membawa makna pergantungan kepada dana asing untuk memajukan ekonomi tempatan dan keterpaksaan untuk akur dengan kuasa asing demi kepentingan ekonomi negara.

Justeru, dengan negara kini berada di persimpangan sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-14, rakyat boleh menilai dan membandingkan sendiri ekonomi negara dan poket sendiri.

Jika kekal mengundi parti pemerintah semasa, nantikan GST ke atas lebih banyak barangan.

Namun, jika berani untuk berubah, tunggu penzahiran komitmen pembangkang untuk menghapuskan GST, sistem kroni dan pastinya, mahu menunjukkan mereka lebih baik dari kerajaan sedia ada.

AMRAN AHMAD NOR merupakan bekas wartawan meja ekonomi Utusan Malaysia yang dibuang kerja pada tahun 2009 atas perjuangan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ). Kini menjadi anggota seumur hidup DAP. Beliau anak arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP Kebangsaan.

Tiada ulasan: