"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengarah Penyelidikan Pas cabar Mahfuz berdebat

MALAYSIA DATELINE
Dr Zuhdi Marzuki
Rimas dengan kritikan bertali arus ahli parlimen Pas Pokok Sena terhadap parti sendiri, pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencabar Mahfuz yang juga bekas naib presiden parti itu untuk berdebat.


Langkah ini kata Zuhdi penting bagi menjernihkan 'kecelaruan' Mahfuz jika benar bekas ketua pemuda Pas itu masih sayangkan parti.

Malah Dr Zuhdi yang menyokong kuat idea perpaduan Pas-Umno melihat ahli parlimen Pas itu semakin galak menjadi 'jurucakap' Pan (Amanah) dan DAP dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan Pas.

"Beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berselindung di bawah nada 'masih sayang kepada Pas' sedangkan tindakannya jelas untuk menyerang Pas. Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai MP Pas diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti," tegas Dr Zuhdi.
Zuhdi menambah, PPP juga mendapat maklumat Mahfuz tidak lagi menghadiri program-program penerangan dan penjelasan tentang halatuju dan pendirian parti, sebaliknya terus menerus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

"Isu-isu yang dibangkitkan olehnya sebenarnya telahpun dijawab di dalam program-program yang dianjurkan oleh parti. Sikap yang ditunjukkan oleh MP Pokok Sena kelihatan sengaja dilakukan untuk menunjukkan hanya pandangan beliau yang tepat berhubung dengan senario terkini politik," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau atas kapasiti Pengarah PPP mencabar Mahfuz berdebat tentang isu-isu berkaitan halatuju dan pendirian Pas hari ini, untuk memberi ruang kepada bekas yang dipertua Pas Pokok Sena itu berhujah bahawa keputusan pucuk pimpinan Pas adalah tersasar seperti didakwa.

Bagaimanapun Dr Zuhdi mensyaratkan debat itu hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli Pas disebabkan isu-isu berkaitan halatuju dan pendirian parti banyak berkaitan dengan hal ehwal dalaman Pas.

Selain PPP, beliau turut mempelawa agensi parti yang lain khususnya yang berada di bawah Badan Perhubungan Pas Kedah untuk menjadi penganjur debat sekiranya Mahfuz lebih selesa.

"Debat tersebut diharapkan dapat menjernihkan kecelaruan Datuk Mahfuz, jika benar beliau bertindak sebelum ini kerana sayangkan parti. PPP bersedia menjawab dakwaan-dakwaan beliau dalam debat tersebut, dan Datuk Mahfuz sewajarnya tidak lagi celupar jika kesemua dakwaan beliau sudah terjawab," katanya.

Tiada ulasan: