"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Selangor 'usir' Zaid Ibrahim

Balik ke Kelantan, Sultan Selangor beritahu Zaid
FMT Reporters

PETALING JAYA: Sehari selepas protes ahli Umno yang mengutuk Datuk Zaid Ibrahim sebagai biadab, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hari ini menjadi sasaran Sultan Selangor, yang mendakwa kenyataannya mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja dijadikan bahan politik.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Menurutnya, Zaid sengaja memutar belit kenyataannya mengkritik Dr Mahathir.

“Saya minta Zaid Ibrahim baca dengan teliti ke­nyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut,” tambahnya merujuk komen Zaid di Twitter.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam ucapan di perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya pada Oktober lalu dilihat menyindir keturunan Bugis.

Dr Mahathir dilaporkan menggelar Datuk Seri Najib Razak dengan gelaran “lanun Bugis”, sebagai menyindir perdana menteri itu yang menggelar dirinya pahlawan Bugis. Kerabat diraja Selangor merupakan keturunan Bugis.

Ia disusuli kenyataan Sultan Selangor menggesa Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM disiasat di bawah undang-undang hasutan.

Dalam wawancara dengan The Star baru-baru ini, Sultan Selangor sekali lagi mengkritik Dr Mahathir dengan menyifatkannya pemimpin dengan “sifat inferiority complex” serta “diselubungi perasaan kebencian”.

Tiga hari lalu, Zaid dalam kiriman Twitter berkata Sultan Selangor “seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya”.

“Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar,” kata Zaid.

Ia mengundang kecaman daripada ahli Umno ketika perhimpunan agung parti itu semalam, yang bertindak membakar keratan mirip Zaid.

“Saya nak beritahu Zaid Ibrahim langkah mayat kami dulu sebelum beliau berani mengeluarkan perkataan-perkataan cukup biadap kepada Sultan Selangor,” kata Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengetuai protes itu.

Dalam wawancara hari ini, Sultan Sharafuddin berkata Zaid tidak perlu mengajarnya dan teguran ke atas Dr Mahathir dibuat atas kapasiti sebagai raja.

“Saya sedar, Zaid selalu mengeluarkan komen yang tidak benar dan tidak tepat mengenai saya, dari dulu. Zaid adalah seorang ahli politik serta bekas menteri dan saya faham dari dulu lagi Zaid kuat menentang institusi raja.

“Nasihat saya kepada Zaid satu sahaja, janganlah kita jadi seperti kacang lupakan kulit dan janganlah musnahkan orang Melayu. Saya percaya Zaid tahu apa yang saya maksudkan,” katanya.

Tiada ulasan: