Nabihah Hamid
KEMUNCULAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad di sebuah restoran popular di Bangsar hari ini mencetus satu lagi spekulasi mengenai kerusi yang bakal ditandinginya.
Bekas menteri, Zaid Ibrahim yang turut berada di restoran berkenaan pagi ini berkata, kedatangan mengejut bekas perdana menteri itu disambut mesra oleh puluhan masyarakat pelbagai bangsa.
Dr Mahathir meluangkan masa untuk bersarapan pagi di situ bersama isterinya, Dr Siti Hasmah sambil beramah mesra dengan para pelanggan di restoran Bala's Banana Leaf pagi ini.
"Beliau habiskan masa lebih kurang sejam. Saya sudah sampai awal. Suasana meriah, ramai yang salam (Dr Mahathir),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Zaid yang kini menganggotai DAP juga berkata, sambutan mesra itu menunjukkan Dr Mahathir berpotensi untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai.
"Saya ingat dia (Dr Mahathir) akan bertanding di sini. Yalah, Lembah Pantai ada banyak campuran pengundi Melayu. Ia mudah untuk dia tetapi itu pandangan peribadi saya.
“Saya rasa ia idea yang bagus untuk pertimbang," kata bekas menteri Umno itu lagi.
Calon untuk kerusi Lembah Pantai kini masih menjadi teka teki kerana penyandangnya, Nurul Izzah Anwar dijangka beralih ke kerusi Parlimen Pandan menggantikan Rafizi Ramli.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Nurul Izzah tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak pilihan raya umum pada 2008.
Beliau sebaliknya dijangka memberi laluan kepada Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dalam pada itu penyelia restoran, Richard, turut berkongsi cerita mengenai kemeriahan di restorannya semasa kunjungan pengerusi Bersatu itu.
"Dr Mahathir dan isteri makan tose. Dr Mahathir minum kopi Madras dari India. Banyak orang datang hendak tengok dia. Selfie pun ada. Dia bayar (bil) di kaunter sendiri.
"Dia cakap tak payah diskaun," kata Richard ketika dihubungi.
Dr Mahathir pada 20 Januari lalu menghabiskan masa sehari di Langkawi, satu lagi kawasan yang berkemungkinan besar akan ditandinginya.
Selain Langkawi, Dr Mahathir juga membuat lawatan di Kubang Pasu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan