"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video samseng jalan raya diserah pada polis

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kes serangan samseng jalan raya terus membimbangkan apabila kejadian seumpamanya semakin kerap menjadi viral di media sosial.

Terbaru, video seorang wanita tempatan 'diserang' seorang lelaki berusia lewat 50-an ketika memandu kereta di lokasi belum dapat dikenal pasti.

Melalui rakaman video selama kira-kira tiga minit itu, mangsa digertak lelaki terbabit yang memandu kereta model Mazda berwarna biru.

Lelaki itu dilihat mengarahkan mangsa keluar dari keretanya selain turut cuba merampas telefon pintar milik mangsa.

Selain itu, suara wanita berkenaan kedengaran meminta bantuan orang awam menghubungi polis selepas lelaki itu enggan berganjak dan menghalang laluan kenderaan mangsa. Dalam rakaman itu, turut kedengaran suara mangsa mendakwa lelaki terbabit mahu memukulnya.

Sementara itu, pihak Polis Kuala Lumpur yang dihubungi memberitahu mereka masih menyiasat penyebaran video itu selain meminta mangsa tampil membuat laporan.

Penganalisis jenayah, Kamal Afendi Hashim berkata, rakaman video berkenaan sepatutnya tidak perlu dijadikan viral di kalangan orang ramai tetapi sebaliknya, mangsa patut menyerahkan bukti itu kepada polis.

"Tidak menjadi satu keperluan untuk mereka menjadikan video itu viral. Apa yang perlu dilakukan adalah terus pergi ke balai polis berhampiran," katanya.

Tambah beliau, sudah menjadi budaya ketika ini, apa saja kejadian semuanya akan menjadi viral di media sosial.

"Adakah mereka hendak meraih simpati? Rakaman itu juga boleh menimbulkan keraguan kerana kita tidak pasti adakah ia benar atau kandungan asalnya sudah disunting.

"Dalam sesetengah kes, video yang viral itu tidak memaparkan keseluruhan kejadian. Justeru, ia menimbulkan perdebatan yang tidak membantu menyelesaikan sesuatu kes atau hanya mengeruhkan keadaan," katanya.

Beliau berkata, sebaiknya orang ramai perlu mempunyai kesedaran supaya sesuatu rakaman itu diserahkan kepada polis untuk siasatan bagi mencari kebenaran.

"Rakaman atau video ini boleh dijadikan sebagai bukti di mahkamah, serahkan saja kepada polis, tidak perlu dijadikan viral," katanya.

Tiada ulasan: