"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

´TengkuRajaAlamShah´ diminta serah diri kepada polis

Pemilik akaun palsu media sosial Facebook dan Twitter yang menggunakan nama ‘TengkuRajaAlamShah’ diminta serah diri bagi membantu siasatan berhubung isu pemberian sijil kewarganegaraan kepada 200,000 orang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata satu laporan polis telah dibuat semalam oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kenyatan-kenyataan yang dikeluarkan oleh penama yang menggunakan akaun berkenaan didapati adalah untuk memfitnah Ketua Pengarah JPN.

“Setakat siasatan dibuat pihak kami mendapati dua akaun penama itu didapati palsu serta sedang mengesan suspek,” katanya pada sidang akhbar harian Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, di sini.

Sabtu lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyangkal dakwaan yang ditularkan pemilik akaun twitter ‘TengkuRajaAlamShah’ berkaitan 200,000 orang telah diberikan sijil kewarganegaraan baharu yang berikrar sedia membalas budi kerajaan Pakatan Harapan.

KDN berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali dan meminta pemilik akaun twitter itu agar tampil untuk membuktikan kesahihan dakwaan itu.– BERNAMA

Tiada ulasan: