"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

14 Adun PH Melaka ikrar sokongan penuh pada Adly

Seramai 14 Adun Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Menteri, Adly Zahari berikutan spekulasi rampasan kuasa bakal berlaku di negeri itu.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan, Adun-adun berkenaan tidak menyatakan secara langsung mengenai percubaan melakukan rampasan kuasa itu.

"Kami menolak sebarang tindakan yang memperlekehkan mandat rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihan raya," kata kumpulan Adun berkenaan.

Kumpulan itu berkata kepimpinan Adly terbukti berwibawa dengan membawa kestabilan politik dan tatakelola pentadbiran yang telus.

"Fokus kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat dengan program dan dasar yang progresif, inklusif dan inovatif bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri.

"Kami memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada YAB Ketua Menteri Adly Zahari untuk terus memimpin negeri Melaka bagi melaksanakan janji Pakatan Harapan," kata mereka.

'Pemuda PH tolak kerajaan pintu belakang'

Sementara itu Pemuda PH Melaka turut menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Adly.

"Pemuda Pakatan Harapan Melaka menolak secara keras mana-mana usaha ke arah penubuhan kerajaan perpaduan atau kerajaan pintu belakang.

"Pemuda PH Melaka akan terus memberikan kerjasama kepada kerajaan PH Melaka dalam membantu rakyat dan menunaikan janji manifesto," katanya.

Pada masa ini, PH mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Melaka apabila menyandang 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada jumlah keseluruhan 28 kerusi.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa dua exco Melaka - Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun ketika dihubungi, Rafiq menafikan dakwaan tersebut.

Rafiz dan Effandi menandatangani kenyataan bersama yang dikeluarkan petang ini.

Spekulasi mengenai perselisihan dalaman PH itu didedahkan kepada umum apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi isyarat terdapat usaha belakang tabir untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Berikutan itu, Majlis Presiden PH mendakwa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein terlibat dalam rancangan membentuk kerajaan persekutuan tanpa DAP dan Amanah.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikan dakwaan tersebut.

Tiada ulasan: