"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Komplot bentuk kerajaan baru tanpa DAP, Amanah akan gagal

Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Komplot pembentukan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah adalah tidak bermaruah dan akan gagal, kata Khalid Samad.

Pengarah Komunikasi Amanah itu berkata, beliau yakin semua pimpinan komponen Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang mahukan Putrajaya ditadbir gabungan itu.

“Saya yakin komplot ini akan gagal. Semua parti dalam PH akan pegang kepada janji,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Penguatkuasa ke-50 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Khalid turut menyifatkan pihak yang cuba berkomplot membentuk kerajaan melalui pintu belakang itu sebagai tidak bermaruah.

“Usaha komplot, sekiranya benar, ia merupakan usaha bentuk kerajan pintu belakang dan tidak bermaruah.

“Saya menyeru pembangkang supaya menghormati mandat rakyat yang inginkan PH memerintah dan jangan mereka khianati mandat itu dengan usaha nak tubuh kerajaan melalui pintu belakang,” katanya.

Khalid berkata, tindakan pihak pembangkang cuba membentuk kerajaan tanpa melalui pilihan raya menampakkan bahawa mereka bimbang tidak akan memenangi pilihan raya akan datang jika PH diberi laluan memerintah sehingga lima tahun.

“Beri PH perintah selama lima tahun. Walaupun saya memahami mereka risau hari demi hari kerajaan PH meningkat prestasinya dan mereka sedar sekiranya PH memerintah lima tahun, maka PH tidak akan menjadi kerajaan satu penggal. Mereka cuba usahakan agar prestasi PH tidak dapat dipertingkatkan seperti yang kita rancangkan,” katanya.

Beliau mengulas spekulasi peralihan kerajaan yang didakwa diusahakan ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan beberapa pemimpin PH tanpa melibatkan DAP dan Amanah.

Susulan spekulasi tersebut, Majlis Setiausaha PH sebelum ini menggesa Hishammuddin supaya menghentikan kempen tersebut.

Gesaan bertulis itu ditandatangani empat setiausaha agung komponen PH, iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Marzuki Yahya (PPBM), Anuar Tahir (Amanah) dan Anthony Loke Siew Fook, yang merupakan setiausaha organisasai DAP.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan perkara itu.

Tiada ulasan: