"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM tahan bekas timbalan presiden PAS, akan dakwa esok

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, esok dan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Kanun Keseksaan.

“SPRM telah mendapat izin daripada Peguam Negara bagi menuduh Datuk Dr Nasharudin Mat Isa esok, jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan akhbar.

SPRM juga mengesahkan Nasharudin ditahan pada jam 2 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.

“Beliau kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

“Kesemua maklumat berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” kata kenyataan itu.

Pada 8 Mac lalu, Nasharudin hadir di kompleks SPRM Pahang dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana oleh PAS daripada Umno.

Dakwaan berkenaan mengatakan pemimpin PAS menerima dana berjumlah RM90 juta daripada Umno sebagai balasan untuk memberi sokongan kepada parti komponen BN itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

PAS dan bekas presiden Umno, Najib Razak menafikan dakwaan berkenaan.

Selain bekas timbalan presiden PAS, SPRM telah memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan berhubung siasatan termasuklah Anggota Parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya pada 6 Ogos 2016 telah mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima dana RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.

Isu itu timbul semula selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel berkenaan pada 1 Feb lepas.

Tiada ulasan: