"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gaji pekerja M'sia terlalu rendah - Penasihat PM

Penasihat ekonomi kepada perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid menyifatkan rata-rata gaji pekerja bawahan di Malaysia dibayar terlalu rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diterima oleh golongan eksekutif tertinggi.

Sedangkan katanya, golongan ini sepatutnya dibayar dengan gaji lebih tinggi memandangkan merekalah yang akan menyumbang kepada ekonomi dengan membelanjakan wang mereka berbanding golongan kaya.

“Data daripada kerajaan menunjukkan kita bayar pekerja (di negara ini) jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain.

“Kita hanya bayar segelintir pekerja dengan gaji yang baik, terutamanya CEO dan pengurusan tertinggi yang dapat gaji berlipat kali ganda berbanding rata-rata pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di satu forum berkaitan Belanjawan 2020 yang dianjurkan oleh Kelab Undang-undang dan Perakaunan Universiti Malaya malam tadi.

Berdasarkan dapatan Jabatan Statistik, kadar pampasan pekerja berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Malaysia pada 2018 ialah pada kadar 35.7 peratus.

Di Singapura pula, kadarnya ialah 39.7 peratus, manakala kadar di negara-negara maju pula adalah antara 50 ke 60 peratus, atau lebih tinggi daripada itu.

Disoal bagaimana masalah itu dapat diperbetul, Muhammed berkata kerajaan tidak mempunyai pengaruh yang besar ke atas sektor swasta.

Dalam hal berasingan Muhammed mengulas mengenai perumahan mewah yang tidak terjual, berkata pemaju sepatutnya mengurangkan harga mereka mengikut kuasa pasaran.

"Kami adalah ekonomi pasaran, jadi membolehkan pasaran menyesuaikan [...] yang bermaksud satu-satunya perkara yang rasional untuk pemaju lakukan adalah untuk menurunkan harga mereka. Tidak perlu kerajaan campur tangan untuk menyelesaikan semua hartanah mewah ini," katanya ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, felo penyelidik utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Denison Jayasooria (gambar, atas) menyifatkan kadar pengangguran di kalangan belia sebanyak 10.9 peratus setakat Julai lalu, adalah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan terdapatnya lebih 2 juta pekerja asing di negara ini.

Katanya, hal itu perlu dipersoalkan secara kritikal bagi mencari penyelesaiannya, biarpun akuinya, ia mungkin bukan sesuatu yang mudah.

“Kita perlu menghubungkaitkan pengangguran belia ini dengan pekerja asing dan gaji minimum, dan perlu membuat satu perbincangan hati ke hati secara serius dengan sektor swasta,” katanya.

Antara soalan yang dibangkitkannya adalah sama ada universiti melatih graduan dalam bidang yang salah, syarikat mencari pekerja dari negara lain, atau belia Malaysia yang tidak mahu melakukan kerja-kerja yang berat.

Bagaimanapun, tambahnya, ramai rakyat Malaysia yang sanggup melakukan kerja-kerja yang kotor, bahaya atau berat (dirty, dangerous or difficult) di Singapura .

Beliau turut ada menyentuh tentang insentif RM500 untuk belia bawah Belanjawan 2020.

“Saya fikir ia perkara yang agak memalukan apabila analisis pemberian insentif gaji kepada orang muda itu sebenarnya bermaksud orang muda itu tidak bekerja,” katanya.

Bawah belanjawan tahun depan, belia yang mendapat kerja selepas menganggur lebih setahun akan menerima insentif RM500 sebulan selama dua tahun dalam KWSP mereka, sementara majikan menerima RM300 untuk tempoh sama.

Selain itu, insentif antara RM350 hingga RM500 sebulan akan diberikan kepada warganegara yang menggantikan tempat pekerja asing, bergantung pada sektor pekerjaan tersebut, sementara majikannya menerima RM250 untuk tempoh sama.

Selain itu, Denison berkata, peruntukan Bantuan Sara Hidup terhadap 3.9 juta isi rumah bawah Belanjawan 2020, selain pemberian subsidi lain membuktikan laporan PBB terhadap kadar kemiskinan di negara ini.

Pelapor khas PBB tentang kemiskinan dan hak asasi manusia, Philip Alston berkata paras kemiskinan pada kadar 0.4 peratus berbanding jumlah isi rumah pada 2016 (iaitu 24,700 isi rumah), adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar kadar kemiskinan di negara ini.

Bagaimanapun, Denison menyifatkan peruntukan itu sebagai “tidak singnifikan berbanding jumlah yang (sebenarnya) diperlukan untuk memperkasa golongan miskin”.

Tiada ulasan: