"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Nasharudin: Ke mana RM3.9 juta dibelanja

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa hari ini dihadapkan dengan 30 pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah kira-kira RM3.7 juta.
Nasharudin juga dihadapkan dengan tiga pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan kira-kira RM300,000 dana yang diperuntukkan Kementerian Kewangan kepada Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
Beliau merupakan ketua pegawai eksekutif GMM sebelum ia ditutup pada 31 Julai 2018.
Malaysiakini memperincikan pergerakan wang tersebut, berdasarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Manfaat peribadi
Enam belas daripada 30 dakwaan pecah amanah jenayah melibatkan pembayaran gaji kepada dirinya sendiri selaku pengerusi Yayasan Nassar.
Beliau dituduh membayar RM321,273.80 kepada dirinya sendiri dalam tempoh 2015 hingga 2016. Kebanyakan deposit dibuat dalam jumlah RM20,000.
Menurut laman Facebook Yayasan Nassar, ia merupakan organisasi bukan keuntungan yang menguruskan hal berkaitan pendidikan, menjaga keharmonian agama, kebajikan dan masyarakat setempat.
Pada masa ini kebanyakan hantaran di laman Facebook itu berkenaan kegiatan Nasharudin.
Sementara itu, beliau juga mendepositkan RM26,000 dana yayasan itu ke dalam akaun peribadinya pada September 2015.
Nasharudin juga dituduh pecah amanah apabila membayar RM30,000 kepada pengasas Hajj Finance Company Limited, Shazali Shauf, untuk membeli 25,000 saham syarikat itu.
Hajj Finance Company Limited merupakan syarikat kewangan bukan perbankan dan berlandaskan syariah di Bangladesh.
Keluarga
Tiga daripada tuduhan pecah amanah jenayah berkenaan pembayaran yang dibuat atas kapasitinya sebagai pengerusi Yayasan Nassar, untuk manfaat keluarganya.
Sejumlah RM51,000 digunakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan anak lelakinya pada Ogos 2016.
Selain itu, pembayaran RM25,756 dibuat kepada KDU University College bagi membiayai yuran pengajian anak lelakinya pada Feb 2018.
Sementara itu, menurut kertas pertuduhan, beliau juga meminjamkan RM34,000 kepada anak perempuannya, Nusaibah pada Mac 2018.
Beli rumah kedai
Nasharudin turut membelanjakan RM539,640 untuk membeli sebuah lot kedai di Bandar Puteri Bangi daripada Knowledge Vision Sdn Bhd, syarikat subsidiari IOI Properties.
Beliau juga membayar RM50,014 untuk duti setem bagi unit itu.
Bagaimanapun tidak jelas apakah kegunaan rumah kedai itu.
Selain itu Duadaya Interior Sdn Bhd, yang dinamakan sebagai penerima wang berjumlah RM200,000 dalam tuduhan penggubahan wang haram, terletak di kejiranan yang sama dengan rumah kedai itu.
Bagaimanapun tidak jelas sama ada kedua-dua tuduhan tersebut berkaitan atau tidak.
Automotif
Dua daripada tuduhan penggubahan wang haram adalah pemindahan wang yang dibuat kepada dua syarikat automotif.
RM76,569.60 dipindahkan kepada Sisma Auto (KL) Sdn Bhd, penjual dan pembekal perkhidmatan yang sah untuk kenderaan Jaguar, Land Rover dan Volvo di Malaysia.
Manakala RM25,500 dipindahkan kepada SMR Performance Sdn Bhd, sebuah bengkel di Taman Tun Dr Ismail.
Geran kajian
Sebagai CEO GMM, Nasharudin juga didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalurkan RM2.6 juta kepada Wasatiyah Centre for Peace, yang mana mengikut kertas pertuduhan adalah syarikat miliknya.
Geran tersebut diberikan antara Julai dan Ogos 2018.
Tidak jelas apakah kajian yang dijalankan, jika ada, kerana laman webnya tidak boleh diakses.
Bagaimanapun, Wasatiyah Centre for Peace baru-baru ini bekerjasama bersama Universiti Utara Malaysia untuk menerbitkan kertas kajian bertajuk The role of developmental assets for pro-social behaviour among adolescents in Malaysia. Kajian tersebut telah dibiayai dengan geran badan itu.
Menurut kertas pertuduhan, ketiga-tiga pertuduhan penggubahan wang haram yang dihadapi Nasharudin melibatkan dana GMM yang disalurkan melalui Wasatiyah Centre for Peace.
 Panduankini ini disusun oleh Zikri Kamarulzaman

Tiada ulasan: