"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rangkuman kes Zahid: Rekod kad kredit, cukai jalan dan siapa Mazlina?

Malaysiakini 
Pada 12 Disember lalu merupakan hari terakhir perbicaraan kes Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi tahun 2019.
Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
Sepanjang 12 hari perbicaraan (sejak 18 November), 26 saksi hadir memberikan keterangan di mahkamah, dan perbicaraan banyak berkisar tentang dakwaan pecah amanah terhadap dana Yayasan Akalbudi.
Dalam pertuduhan pecah amanah (CBT), Ahmad Zahid dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi- yang mana beliau merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.
Melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa satu amaun besar milik yayasan digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.
Laporan mengenai rekod cukai jalan bagi kenderaan Ahmad Zahid merupakan antara perkara yang paling memancing perhatian ramai dalam perbicaraan setakat ini.
Sebanyak 20 kenderaan, yang hampir kesemuanya kereta dan motosikal mewah, dan hampir semuanya didaftarkan atas nama beliau, mempunyai cukai jalan berjumlah RM35,726.80.
Sementara nilai polisi insurans kenderaan Ahmad Zahid dan keluarganya mencecah RM72,209.57 untuk 20 kenderaan yang dimiliki mereka. Semua kenderaan ini sama dengan rekod kenderaan yang disenaraikan saksi bagi cukai jalan, kecuali dua kenderaan kerana berlaku pertukaran nombor plat.

Salah seorang saksi yang merupakan ejen insurans memberitahu mahkamah, dia menerima tiga cek bernilai RM107,509.55 untuk pembayaran polisi insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan.
Laporan rekod kad kredit Ahmad Zahid juga menarik perhatian banyak pihak, apabila saksi mendedahkan perbelanjaan yang dibuat Ahmad Zahid dan keluarganya, termasuk di butik-butik mewah luar negara.

Rekod kad kredit Ambank yang dibentangkan saksi menunjukkan penggunaan kad kredit Ahmad Zahid dan isterinya, Hamidah Khamis mencecah lebih RM1.4 juta dalam tempoh dua tahun dua bulan (antara Disember 2013 hingga Januari 2016), termasuk di luar negara.
Ini termasuklah perbelanjaan di pusat beli-belah, fesyen dan butik mewah seperti Burberry, Louis Vuitton, Swarovski, Harrods, Max Mara, Myer, Zilli Hermes, Stefano Ricci, Marks & Spencer, Escada dan Giorgio Armani; pusat mainan seperti Toys R Us dan DC Super Heroes, pusat barang kemas seperti Poh Kong Jewellers, Habib Jewels dan Swarovski; pusat farmasi, bil hospital, serta perbelanjaan lain.
Pembayaran yang direkodkan terhadap kad kredit itu pula mencecah RM1,296,715.98 (dari Januari 2014 hingga Januari 2016) melalui 37 transaksi cek (dua dipulangkan semula).
Bagi kad kredit Maybank pula, sebanyak RM 45,951.36 perbelanjaan direkodkan- termasuk di Kiev, Ukraine dan Seoul, Korea Selatan- manakala pembayarannya pula ialah sebanyak RM65,251.83, dibuat menerusi sembilan transaksi cek (satu dipulangkan semula).
Menurut salah seorang saksi, Ahmad Zahid juga mengarahkan penebusan semua akaun simpanan tetap milik Yayasan Akalbudi dan mengeluarkan cek bank (banker’s cheque) atas nama Messrs Lewis & Co berjumlah RM17,953,185.21, bagi tujuan “membina bangunan Yayasan Akalbudi”.
Siapa Mejar Mazlina?
Walaupun perbelanjaan kad kredit dan nilai polisi insurans menjadi perhatian rakyat, pasukan pendakwaan- seperti yang dinyatakan dalam pernyataan pembukaan- perlu membuktikan penyelewengan Yayasan Akalbudi oleh Ahmad Zahid berlaku menerusi pembayaran-pembayaran yang dibuat.
Dengan itu, pasukan pembelaan mendakwa, pembayaran untuk kad kredit dan insurans yang dibuat melalui cek Yayasan Akalbudi itu, dibuat tanpa pengetahuan Ahmad Zahid oleh pembantunya ketika itu yang bernama Mejar Mazlina.
Nama Mejar Mazlina boleh dikatakan nama yang paling banyak ditimbulkan oleh pasukan pembelaan, khususnya ketika pemeriksaan balas terhadap keterangan tentang transaksi melibatkan cek.

Menurut peguam bela, pihaknya telah menghantar sejumlah cek ke Jabatan Kimia Malaysia untuk pengesahan, dan hasilnya, daripada semua cek itu, sebanyak 32 cek didapati bukan dihasilkan menggunakan tulisan tangan, sebaliknya menggunakan cap tandatangan.
Ini termasuklah 25 cek kepada Ambank dan enam cek kepada Maybank untuk pembayaran kad kredit. Dakwa peguam bela, cek-cek tersebut dicap oleh Mejar Mazlina tanpa pengetahuan Ahmad Zahid.
Penggunaan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat pembayaran kad kredit, kata mereka, juga disebabkan kesalahan Mejar Mazlina yang sepatutnya menggunakan wang dari akaun peribadi Ahmad Zahid.
Malah, mereka turut mendakwa Mejar Mazlina sememangnya diketahui sering melakukan kesilapan seperti menghantar cek kosong (tanpa tandatangan) kepada bank sehingga menyebabkan cek tersebut dipulangkan semula.
 Mejar Mazlina dijangka akan dipanggil sebagai salah seorang saksi tahun hadapan.
Selain pembayaran kad kredit dan insurans, Ahmad Zahid turut dituduh memberikan wang Yayasan Akalbudi kepada syarikat TS Consultancy & Resources (RM360,000); Pasukan Persatuan Bola Sepak PDRM (RM 1.3 juta), dan Armada Holdings (RM10 juta).
Bagi peruntukan tersebut, peguam bela mendakwa ia sebenarnya untuk mencetak al-Quran (untuk TS), “kebajikan pemain” (untuk pasukan bola sepak), dan sebagai pelaburan yang menguntungkan yayasan (untuk Armada Holdings).
Tak tahu aktiviti yayasan
Ahmad Zahid merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang ditubuhkan sejak 1997 (ketika itu Yayasan Budi), sebelum memohon menjadi penandatangan tunggal bagi badan tersebut pada 2013.
Bagaimanapun, berdasarkan keterangan ahli lembaga pemegang amanah yayasan lain yang menjadi saksi perbicaraan, kebanyakan mereka tidak tahu menahu mengenai apa-apa perjalanan dan aktiviti yayasan.
Ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Akalbudi (mantan atau penyandang) yang memberi keterangan sebagai saksi ialah Mohd Samsuri Tun, Prof Dr Zulkifli Senteri, Muhammad Nabil Saleh dan Khairuddin Tarmizi.


Projek yang dinyatakan peguam sebagai antara projek Yayasan Akalbudi. Masjid Maahad Hamidiah di Kajang, Selangor
Hampir semua mendakwa tidak tahu sumber kewangan yayasan, tidak pernah berbincang mengenai aktiviti dan perbelanjaan yayasan dengan Ahmad Zahid (kecuali Khairuddin), tidak pernah dirujuk dengan penyata akuan atau penyata kewangan yayasan, serta tidak tahu yayasan mempunyai dana berjumlah jutaan ringgit.
Malah, mereka semua mengaku tidak pernah menandatangani sebarang dokumen kewangan seperti cek milik yayasan, kecuali Samsuri (pernah tandatangan cek) dan Nabil (tidak menyebut langsung mengenai cek dalam pernyataan saksinya).
Mereka juga akur apabila diminta melepaskan jawatan oleh Ahmad Zahid. 
Khairuddin juga membuat pengakuan mengejutkan, iaitu akuan bersumpah (SD) yang ditandatanganinya pada 2017 bahawa terdapat pembayaran balik dana Yayasan Akalbudi sebanyak lebih RM800,000 oleh Ahmad Zahid Hamidi, adalah sebenarnya tidak benar.
SD itu tidak disediakan olehnya, sebaliknya hanya ditandanganinya sahaja setelah diminta berbuat demikian oleh seorang peguam.
Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Yayasan Akalbudi, Zulkifli dan Samsuri masih lagi pengarah yayasan, biarpun kedua-duanya telah menandatangani surat peletakan jawatan pada 2012.
Dalam pemeriksaan balas terhadap beberapa saksi, peguam bela mencadangkan bahawa Yayasan Akalbudi adalah “sebenarnya kepunyaan Ahmad Zahid”, dan wang peribadi Ahmad Zahid bercampur aduk dengan dana yayasan memandangkan sebahagian besar pendapatannya dimasukkan ke dalam akaun yayasan sejak awal penubuhannya lagi.

Peguam bela juga beberapa kali membangkitkan apa yang menurutnya sebagai “sumbangan dan projek” oleh Yayasan Akalbudi, di dalam dan luar negara.
Antaranya pembinaan dan penambahbaikan masjid dan surau, sumbangan kepada golongan memerlukan, percetakan Al-Quran, sumbangan pelajaran, pembinaan sekolah, serta sumbangan lain seperti sumbangan hari perayaan dan sumbangan tahunan.
Malah, di Bagan Datuk sendiri, dia berkata lebih RM46 juta dikatakan disumbangkan untuk masjid dan surau, sama ada untuk pembinaan, penambahbaikan, sumbangan karpet, pendingin hawa, pengecatan dan atap.
Rasuah
Hari ke-12 turut menyaksikan perbicaraan mula masuk dalam kes rasuah.
Bagi pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima RM17 juta antara 2016 hingga 2018, sebagai imbuhan buat dirinya untuk menganugerahkan tiga kontrak kepada beberapa syarikat. Beliau ketika itu Menteri Pertahanan dan juga Timbalan Perdana Menteri.
Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Ahmad Zahid “memainkan peranan penting” (instrumental) dalam penganugerahan kontrak-kontrak tersebut.
Pada atau sekitar waktu sama, Ahmad Zahid dituduh menerima rasuah RM4.25 juta daripada “seseorang” sebagai imbuhan terhadap projek MyEG bawah bidang kuasa kementeriannya ketika itu.
Pada hari ke-12, pasukan pendakwaan memanggil saksi-saksi formal dari beberapa bank untuk mengesahkan berlakunya transaksi cek dari lima syarikat kepada Lewis & Co antara 2016 hingga 2018.
Lima syarikat itu ialah Syarikat Jogabonito Jewellery and Diamonds (sekeping cek RM250,000), Berani & Jujur Trading (RM5 juta dalam 10 transaksi cek), Mastoro Kenny IT Consultant & Services (RM8 juta dalam 13 transaksi cek), Sarana Kencana Sdn Bhd (RM6 juta dalam dua transaksi cek), dan Profound Radiance Sdn Bhd (RM2 juta dalam tiga transaksi cek).


Projek yang dinyatakan peguam sebagai antara projek Yayasan Akalbudi. Maahad Abdul Fatah Wa Abd Jalil Al-Tahfiz Al-Quran Lil Banat di Bagan Datuk, Perak
Messrs Lewis & Co juga nama yang sering timbul dalam perbicaraan Ahmad Zahid. Pihak pembelaan konsisten mencadangkan bahawa Lewis & Co ialah pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.
Peguam bela juga mencadangkan bahawa saksi-saksi yang dipanggil setakat hari ke-12, “tidak boleh menafikan” sekiranya dikatakan bayaran yang dibuat adalah untuk tujuan kebajikan, infak atau sedekah, selain untuk tujuan “dana politik kepada TPM” (political fund to TPM).
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.
Pasukan pendakwaan terdiri daripada timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Lee Keng Fatt, Gan Peng Kun, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin dan Mohd Afif Ali.
Manakala pasukan pembelaan diwakili peguam bela Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Mohd Noh, Rosal Azimin Ahmad, Haziq Dhiyauddin Razali, dan Aiman Abdul Rahman.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Perbicaraan akan bersambung semula, Februari tahun hadapan.

Tiada ulasan: