"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembantu Rosmah mengaku lari dari Malaysia lepas BN kalah

Hidir Reduan Abdul Rashid
KES ROSMAH | Bekas pegawai pembantu Rosmah Mansor mengaku dia melarikan diri dari Malaysia selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum lebih dua tahun lalu.

Memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Rizal Mansor berkata dia bertindak sebegitu kerana panik apabila mengetahui dua individu yang terbabit dalam projek hibrid solar kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dua individu yang dirujuk Rizal dalam keterangan itu ialah Pengarah Urusan Jepak Holdings (Jepak), Saidi Abang Samsudin, serta Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan rakan perniagaan Saidi.

Katanya sebelum itu juga portal Sarawak Report membuat pendedahan mengenai penglibatannya dalam projek solar hibrid untuk sekolah di kawasan pedalaman Sarawak kepada Jepak.

"Setelah saya mendapat tahu bahawa Saidi dan Rayyan ditahan SPRM, saya panik dan membuat keputusan melarikan diri ke Jakarta, Indonesia," katanya.

Menurut Rizal lagi dia mendapat tahu SPRM mula menyiasat projek tersebut sejak Feb hingga Mac 2018 namun tidak berasa risau kerana yakin ia tidak akan menjurus kepada dirinya atau Rosmah berdasarkan status wanita terbabit adalah isteri perdana menteri.

Bagaimanapun, kata Rizal, keadaan berubah apabila BN - yang diketuai Najib Razak - kalah kepada PH.

Kira-kira dua atau tiga minggu selepas berada di Jakarta Rizal berkata SPRM menghubunginya dan meminta agar hadir ke pejabat agensi antirasuah berkenaan untuk membantu siasatan.

"Saya meminta penangguhan daripada SPRM dengan memberikan alasan saya perlu menyelesaikan urusan perniagaan.

"SPRM memberikan saya tempoh seminggu untuk hadir membantu siasatan," katanya lagi.

Kalau anda terlepas...

Zahidi: Maklumat tentang Veveonah disalurkan MP Kudat
Selepas berfikir panjang, kata Rizal, dia akhirnya membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia.

"Saya tahu saya tidak boleh melarikan diri selama-lamanya dan lambat laun saya perlu juga menghadapi keadaan ini.

"Pada hari saya hadir ke SPRM, saya ditahan dan direman selama enam hari. Seterusnya saya dituduh di mahkamah atas empat pertuduhan," katanya yang memberi kenyataan sebagai saksi pendakwaan dalam kes melibatkan Rosmah.

Terdahulu hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rizal agar media dilarang daripada melaporkan keterangan yang diberikannya.

Tiada ulasan: