NOR AINNA HAMZAH
TAMPIN – Seorang remaja bawah umur dirogol seorang lelaki yang baharu dikenali tiga hari dalam kejadian di sebuah kebun di Gemas, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, suspek berusia 34 tahun yang merupakan penganggur dipercayai membawa mangsa menaiki motosikal sebelum bertindak merogol mangsa berusia 16 tahun.
Menurutnya, pihaknya telah menerima laporan polis berkenaan kira-kira pukul 1.46 petang semalam membabitkan kes dirogol suspek dikenali.
“Remaja ini sudah tidak bersekolah. Suspek telah mengambil mangsa di rumahnya di Gemas pada awal pagi dengan menaiki motorsikal lalu membawa mangsa sehingga ke kawasan kebun dan telah merogol mangsa di sebuah pondok.
“Suspek yang tidak bekerja baharu mengenali mangsa selama tiga hari. Mereka berkenalan semasa bersiar-siar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, susulan laporan berkenaan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tampin telah berjaya menangkap suspek kira-kira pukul 8.45 malam iaitu kurang 12 jam dari laporan diterima.
Menurutnya, permohonan reman ke atas suspek telah diperolehi selama tujuh hari bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan