"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan terkejut jika PKR tumbang di Selangor kerana air

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Apabila berlakunya isu gangguan bekalan air di Selangor teringat pula kepada sosok bernama Datuk Seri Jamal Md Yunos dengan bertuala mandi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.

Selepas beberapa tahun lalu videonya bertuala mandi, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar kembali lagi berkongsi tiga video pendek kurang dua minit yang dua daripadanya memaparkan dirinya dalam keadaan bertuala dengan latar belakang sungai dikatakan di Tanjung Malim.

Bagaimanapun dalam isu gangguan bekalan air semasa itu rakyat Selangor tidak bergajak masih terus menyokong PKR dan DAP di Selangor.

Tetapi jangan terkejut sekiranya rakyat beralih sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana isu gangguan bekalan air kali ini. Isu air sama pentingnya dengan penularan wabak Covid-19.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) banyak industri dan perniagaan besar dan kecil yang terjejas dan hampir angkat kaki. Ramai juga yang telah kehilangan perkerjaan.

Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB), terdapat kelonggaran untuk menghidupkan kembali operasi perniagaan dan industri, dan peniaga kecil pun bernafas semula tetapi dengan terputusnya bekalan air akibat pencemaran ia tentunya menjejaskan operasi perniagaan dan industri serta perniaga kecil untuk bernafas. Ini boleh sahaja membangkitkan kemaharan dan rungutan rakyat.

Keadaan sekarang telah berubah dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali telah berpihak kepada PN dan menyertai Bersatu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Umno dan Pas yang merupakan pembangkang boleh mencetuskan isu ini sebagai bahan politik.

Jika mereka boleh melakukannya di peringkat Persekutuan berikutan Langkah Sheraton, mereka boleh sahaja melakukannya di Selangor dengan pelbagai langkah. Cumanya di Selangor terdapat ramai golongan bukan Melayu yang menyokong DAP dan PKR.

Kedua-duar parti ini juga masih juga mendapat sokongan golongan Melayu di bandar dan luar bandar. Jamal telah mula menggerakkan usahadengan imej bertualanya.

Namun tiada yang mustahil jika isu gangguan bekalan air ini kerap berlaku.

Gangguan bekalan air sekitar Lembah Klang bermula 3 Sept lepas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah boleh menjadi bahan politik yang menjejaskan sokongan rakyat kepada PKR dan DAP di Selangor.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan Selangor mempunyai kadar kekerapan terputus bekalan air yang tertinggi di Malaysia. Mengikut laporan Persatuan Air Malaysia yang terkini, 259,000 (62 peratus) daripada 419,000 kejadian terputus bekalan air di Malaysia berlaku di negeri Selangor.

Pahang, negeri yang lebih besar dari Selangor dan terbesar di Semenanjung Malaysia hanya mengalami 2,000 kes terputus bekalan air setahun, seratus kali ganda lebih kecil berbanding Selangor. Masalah ini bukan sahaja menyusahkan rakyat namun menyebabkan pelabur asing lari dari negeri Selangor.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) turut mebangkitkan perkara sama.

Katanya, gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang yang semakin kerap berlaku mungkin tidak serius dan mampu dibendung jika LRA Langat 2 dapat beroperasi sepenuhnya ketika ini. Operasi LRA Langat 2 hanya beroperasi 80 peratus apabila pemasangan paip penyambungan bekalan air ke kawasan penting akan siap sepenuhnya pada tahun 2021 hingga 2022.

Adakah isu bekalan air terputus disebabkan oleh kegagalan pentadbiran kerajaan negeri, kelemahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat pengurusan Air Selangor menangani faktor lapuk berhubung isu air didakwa punca sebenar krisis bekalan utiliti itu di negeri ini?

Kita tidak mahu isu gangguan bekalan air oleh kerajaan Selangor sehingga ke tahap tidak lagi boleh diterima rakyat berikutan kerap berulang dan menambah beban rakyat yang kini berdepan wabak Covid-19.

Diharap ia tidak sampai ke tahap rakyat muak dengan pelbagai alasan yang diberikan. PKR dan DAP harus meneliti isu ini supaya ia tidak dijadikan bahan politik menjelang pilihan raya akan datang dan jangan terkejut jika PKR dan DAP boleh tumbang dalam pilihan raya negeri kerana isu gangguab bekalan air.

Dalam jangka masa terdekat ini, isu gangguan bekalan air diharap tidak tercetus lagi (walaupun tidak dapat dielakkan) kerana ia boleh menjadi harga mahal yang harus dibayar oleh kepimpinan PKR Selangor.
—————————————–
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.

Tiada ulasan: