FMT Reporters
PETALING JAYA: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Yang di-Pertuan Agong membatalkan pelaksanaan darurat dan Parlimen segera bersidang.
Bagaimanapun, presiden PKR itu berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua Ahli Parlimen dan parti masing-masing.
“Semoga warkah ini mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Jan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, tujuan Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.
Selasa lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal untuk membendung penularan Covid-19.
Ia disusuli jaminan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang berkata, darurat bukannya rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, tetapi Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri digantung sehingga tempoh kecemasan berakhir.
Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah kemudiannya membantah pengisytiharan darurat yang didakwanya sebagai tindakan untuk Muhyiddin menyelamatkan diri, merencatkan demokrasi dan menafikan suara rakyat.
Blok pembangkang itu berkata, darurat memberi Muhyiddin “kuasa mutlak…untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan