"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak perlu tunggu darurat berakhir, Anwar tiada halangan menghadap Agong

SITI NUR ZAWANI MISCON

AMANAH tegas berpendirian Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya tiada halangan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong jika Presiden PKR itu sudah mempunyai cukup majoriti.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, Anwar tidak harus menunggu sehingga tamatnya tempoh darurat pada 1 Ogos ini kerana lebih banyak kepincangan akan dilakukan oleh kerajaan Muhyiddin Yassin yang tidak lagi mempunyai majoriti dan keabsahan.

“Kalau kita ada majoriti sekarang, Anwar kena menghadap Agong. Saya tak tahu apa halangan untuk berlaku pertukaran sekarang sebelum tamatnya darurat.

“Darurat boleh tamat bila-bila masa mengikut kesesuaian dan cadangan daripada pemerintah.

“Saya yakin Agong akan jalankan tugas dan akan menerima Anwar untuk bawa sokongan. Kenapa nak tunggu sampai bulan Ogos? Kepincangan akan berlaku lebih banyak lagi,” tegas Mohamad ketika sesi Facebook Live menerusi NRChannelTV malam tadi.

Perikatan Nasional (PN) ketika ini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan Rakyat selepas tiga Ahli Parlimen Umno menarik diri dari menyokong gabungan tersebut.

Untuk rekod, Mohamed Nazri merupakan Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno yang ketiga membuat tindakan demikian selepas Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Blok pembangkang pula kekal dengan 108 Ahli Parlimen yang terdiri dari Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Mengulas mengenai kerjasama politik dengan Umno, Mohamad berkata, AMANAH menolak hal sedemikian secara en bloc jika parti itu mahu bekerjasama dengan PH.

Menurutnya, AMANAH mungkin akan mempertimbangkan untuk menerima ahli Umno yang bersih dan tidak terlibat dengan apa-apa salah laku rasuah.

Bagaimanapun katanya, jika keadaan tersebut berlaku yang menyaksikan kerjasama PH dan Umno, perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu bersama pimpinan tertinggi parti .

“Apabila tiba peringkat itu, kita akan bincang (dalam mesyuarat PH).

“Tapi sekarang ini kalau di peringkat individu daripada Umno atau mana-mana kumpulan yang nak datang menyokong, kita tiada masalah.

“Soal (jika) parti Umno nak datang (bekerjasama), kita kena buat perbincangan di peringkat PH. Tapi kalau individu, kita tiada masalah apa-apa,” tambahnya lagi. 

Tiada ulasan: