"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bahtera siapa hilang arah, Anwar atau Hadi

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN

Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas, Tuan Haji Hadi Awang yang mengatakan Presiden PKR Anwar Ibrahim bagai bahtera yang hilang arah sangat menarik untuk dibaca.

Ungkapan bahtera juga tidak lari dalam fikiran orang Islam itu sendiri sepertimana al Quran pernah menceritakan tentang Nabi Nuh as ditugaskan untuk membina sebuah bahtera dalam menghadapi banjir besar yang maha dahsyat. Kecekalan dan ketakwaan Nabi Nuh as akhirnya berjaya membina bahtera tersebut serta berjaya menyelamatkan ribuan nyawa.

Namun,bukan soal bahtera yang penulis ingin utarakan dalam penulisan ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pas itu hanyalah omong kosong dan tidak mempunyai fakta serta tidak menggambarkan akhlak Islam yang sebenar sebagaimana yang ideologi yang dibawa oleh Pas sendiri.

Kita buka kembali lembaran sejarah Malaysia pada tahun 1980an yang banyak ketidaktentuan dalam arena politik negara.

Pada tahun 1985, telah keluar satu amanat yang telah membakar semangat perjuangan Pas terhadap Islam sehingga berlakunya kejadian Memali di Baling yang meragut nyawa 18 orang.

Amanat ini dinamakan sebagai Amanat Haji Hadi kerana amanat ini telah dikeluarkan oleh Hadi Awang sendiri bagi membakar semangat ahli Pas dalam memperjuangkan agama Islam. Ahli-ahli Pas yang mendengar amanat ini mula rasa bersemangat sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan harta.

Dalam Amanat Haji Hadi ini, beliau telah menyebutkan sebab-sebab penentangan beliau terhadap Umno dan BN kerana parti Melayu ini telah mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir dan mengekalkan undang-undang jahiliyah.

Pada zaman tersebut, banyak kecelaruan dan perpecahan telah berlaku sehingga sebuah masjid mempunyai dua imam, sembelihan parti lain tidak boleh dimakan dan berlakunya kes cerai di antara suami isteri kerana peggangan parti politik yang berbeza. Itu lah kemudaratan yang dibawa oleh Pas suatu ketika dahulu sehingga sekarang masih terus diingati.

Itu yang disebutkan oleh Hadi Awang 36 tahun yang lalu. Setelah berabad melawan Umno, akhirnya dua parti seteru ini mula bersatu dalam Muafakat Nasional (2019) sehingga Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional yang terhasil daripada pengkhianatan.

Persoalannya, adakah Pas masih ingin mengekalkan perlembagaan penjajah yang masih diamalkan sejak kemerdekaan 1957 sehingga sekarang? Adakah Pas masih ingin mengekalkan undang-undang yang dikatakan kafir dan jahiliyah?

Segalanya sudah terjawab sekarang apabila Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan. Perlembagaan dan undang-undang kafir yang didakwa oleh Hadi Awang selaku presiden Pas sekarang masih dikekalkan. Bahkah, ideologi Islam yang diperjuangkan oleh Pas selama ini kelihatan sudah dilupakan setelah mendapat kedudukan dan jawatan.

Apakah ini yang diperjuangkan oleh Pas selama ini? Apa terjadi dengan RUU355, hudud, arak dan penghapusan pusat judi? Sedangkan cabutan khas judi telah dinaikkan di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Pas juga dilihat tidak menunjukkan kesetiaan dalam menjalinkan hubungan persahabatan sama ada kekal dengan Muafakat Nasional bersama Umno atau Perikatan Nasional bersama Bersatu sehingga timbul keraguan terhadap ahli Umno untuk bekerjasama dengan Pas pimpinan Hadi Awang.

Pas masih dalam dilema dalam membuat pilihan kerana bahtera Pas dipimpin oleh seorang nakhoda yang tiada arah tuju dan tidak cekal dalam menempuh perjuangan.

Sekiranya ahli Pas masih berfikiran sempit dan tidak mahukan pembaharuan, nescaya bahtera Pas akan terus hilang arah tuju dan tenggelam di lautan.

Tiada ulasan: