"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perintah darurat Muhyiddin kerana politik bukan tangani COVID-19, kata Najib

SITI NUR ZAWANI MISCON

Datuk Seri Najib Razak mendakwa perintah darurat yang akan dicadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong petang ini, merupakan keputusan berasaskan politik dan bukannya untuk menangani wabak Covid-19.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah berbincang untuk mengeluarkan perintah darurat dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada awal Mac sehingga April tahun lalu adalah amat tegas termasuk mengarahkan anggota tentera untuk mengawal keadaan.

Justeru soalnya, apa lagi yang tidak cukup untuk melawan wabak berkenaan semasa awal PKP yang dilaksanakan.

“Seperti dibuktikan pada PKP pertama tahun lepas, undang-undang Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah cukup kuat untuk segala kerja mengawal Covid tanpa pengisytiharan darurat dan menggantung Parlimen.

“Jika ianya benar bahawa permintaan darurat dibuat sekali lagi maka lagi ramai rakyat yang akan membina persepsi bahawa kerajaan hari hanya sekadar mahu mengekalkan kuasa politik mereka dan bukan atas kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan Facebook hari ini.

Terdahulu, The Star melaporkan sumber di Putrajaya memberitahu bahawa dengan krisis Covid-19, keperluan mengisytiharkan darurat telah dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet pagi tadi.

Tiada perincian yang diperuntukkan oleh Kabinet tetapi Muhyiddin dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini.

Ini sekaligus menjadikan percubaan kedua kerajaan untuk mendapatkan perintah darurat atas alasan mahu mengawal wabak tersebut.

Sementara itu kata Najib, ramai yang akan membina persepsi bahawa PN telah melonggarkan hampir semua SOP Covid-19 dab sengaja menggadaikan nyawa rakyat dengan membiarkan keadaan Covid menjadi teruk agar mereka mempunyai peluang meminta darurat sekali lagi.

Tiada ulasan: