"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Darurat Muhyiddin untungkan Grand Coalition PH

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengisytiharan proklamasi darurat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, dilihat bakal menambah mata kepada Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mereka menggerakkan ‘Grand Coalition’ atau gabungan besar bersama pembangkang.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, gabungan raksasa yang sedang digerakkan PH ketika ini sama sekali tidak akan terkesan dengan pengisytiharan tersebut.

Bahkan menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan berdepan dengan situasi kehilangan majoriti kerana ketidakpuasan hati rakan komponen yang menyokongnya, terutama Umno.

“Perbincangan membentuk pakatan politik ini tidak ada masalah. Yang jadi masalah cuma darurat yang menghalang diadakan pilihanraya.

“Tapi, Umno sekarang paling tak puas hati dengan darurat sebab dia nak pilihanraya. Mungkin ini akan menyebabkan Umno akan menolak Bersatu dan bergabung dengan PH.

“Pada saya, gabungan besar tidak akan terkesan dengan darurat. Malah ia sebenarnya menambahkan lagi resepi dan memberi semangat kepada PH,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Pada masa sama, menurut pensyarah Kanan Bahagian Politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu lagi, gabungan besar yang digerakkan tidak semestinya perlu tertumpu kepada agenda Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sahaja.

Sebaliknya beliau berkata, penubuhan gabungan besar ketika ini dilihat sebagai satu bentuk yang dapat mengukuhkan pandangan antara Ahli Parlimen yang menyokong dan menguatkan lagi kerjasama.

Mengulas lanjut, dengan penarikan sokongan Ahli Parlimen Umno terhadap Kabinet Muhyiddin, Mazlan juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli parti itu akan melakukan tindakan yang sama sekaligus melemahkan lagi gabungan PN.

“Gabungan besar tak semestinya untuk berdepan pilihanraya. Dia boleh diwujudkan dalam konteks muafakat untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama.

“Mungkin boleh dikatakan beberapa orang lagi akan isytihar menarik sokongan dari PN. Kita jangka akan wujud gabungan besar dalam konteks yang lebih besar,” ulasnya.

Tiada ulasan: