"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Budak berdepan 8 dakwaan seksual lagi

N Faizal Ghazali

Selepas dihadapkan ke mahkamah dengan empat pertuduhan jenayah seksual, seorang pengurus madrasah yang dikenali sebagai Ustaz Budak sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, dengan lapan pertuduhan jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki antara November 2017 hingga Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Syamsul Zaman Sukri, 32, yang tampil dengan jubah hijau muda dan berkopiah hitam mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Sharudddin Mohamed.

Dalam pertuduhan pertama hingga keenam membabitkan mangsa yang sama, Syamsul dengan maksud seksual meraba kemaluan kanak-kanak lelaki dan membuatkan mangsa memegang kemaluannya, manakala tertuduh mempunyai hubungan amanah terhadap mangsa.

Kejadian itu didakwa berlaku di asrama madrasah dan sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Kampung Awah, Paloh Rawa Machang pada jam 11 malam sekitar November 2017 hingga September 2018.

Ketika kejadian, mangsa berusia 15 tahun 11 bulan hingga 16 tahun sembilan bulan.

Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, tertuduh dengan maksud seksual meraba kemaluan kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun sembilan bulan dan membuatkan mangsa memegang kemaluannya (tertuduh) dan mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu.

Kedua-dua kejadian itu berlaku pada 29 Oktober 2020 jam 11 malam di sebuah bilik di rumah tanpa nomnor di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16 adalah tambahan kepada penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, memandangkan wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.

Terdahulu, Sharudddin memohon ditawarkan jaminan memandangkan tertuduh perlu menanggung enam adik beradik serta ibu yang kurang upaya (OKU).

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM40,000 dengan tiga penjamin serta perlu melapor diri di balai polis setiap 1 haribulan dan menetapkan 17 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Syamsul turut didakwa dengan empat pertuduhan seksual di mahkamah sama pada 21 dan 31 Disember lalu.

Tiada ulasan: