"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno beri bayangan keluar dari kerajaan Ogos ini

Malaysiakini

Perhimpunan Agung Umno hari ini memberikan mandat kepada presiden parti dan majlis tertinggi mereka untuk menentukan bila tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Keputusan itu dicapai dalam perhimpunan agung Umno yang berlangsung selama dua hari berakhir pada hari ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan mandat yang ada pada pucuk pimpinan itu parti berkenaan boleh menarik diri pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Apabila ia diputuskan nanti, katanya, semua ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan meletak jawatan bersama.

"Perwakilan beri mandat kepada presiden untuk Umno tarik diri bila-bila masa jika mereka tiada indikasi untuk adakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat.

"Kalau ini terjadi, majlis tertinggi (MT) terutama menteri, timbalan, ahli parlimen 100 peratus akur keputusan tarik diri dari PN," katanya.

Ahmad Zahid Hamidi kemudian meminta semua perwakilan berdiri untuk menyatakan sokongan kepada usul tersebut. 

Sejurus selepas itu Ahmad Zahid terus menamatkan ucapan pengangguhan Perhimpunan Agung Umno 2020.

Sementara itu terdahulu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memberi bayangan mereka akan menarik diri daripada pada Ogos nanti iaitu pada tarikh pelaksanaan darurat dijangka tamat.

Kata Mohamad dalam isu kerjasama dengan PN dan Bersatu, Umno perlu dilihat serius dan mengotakan setiap apa yang mereka lafazkan, bukan hanya "bersilat pulut".

"Paling penting [...] ialah Umno mesti menang pilihan raya umum (PRU) supaya berupaya tubuh kerajaan, menang selesa jangan harap belas ihsan orang.

"Bina kekuatan sendiri, berdiri atas kaki sendiri... perkasakan parti kuatkan parti untuk hadapi PRU ke-15.

"Tarik diri bulan lapan (Ogos), jangan main silat pulut tak sudah. Kita gajah besar parti terbesar masuk hutan satu ranting pun tak patah, apo bondo?

"Kalau nak langgar bulan lapan (Ogos), langgar... Jangan main acah-acah," katanya pada ucapan penagguhan.

Tiada ulasan: