"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perancah besi lebuh raya DASH runtuh, 2 pekerja cedera

FMT Reporters

Anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga bantuan perubatan tiba di lokasi runtuhan konkrit berhampiran susur keluar Kota Damansara.

PETALING JAYA: Dua pekerja cedera selepas perancah besi lebuh raya yang sedang dalam pembinaan runtuh berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) susur keluar Kota Damansara.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.13 malam dan seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa merupakan pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun. Semua mereka dilaporkan sedang melakukan kerja di bawah struktur tersebut.

“Mangsa mengalami kecederaan terkena serpihan batu konkrit dan kerangka besi,” katanya.

Dalam kejadian itu, anggota bertugas bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa dan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat sehingga bantuan perubatan tiba di lokasi.

Pihak bomba turut memastikan keadaan selamat sebelum menamatkan operasi.

Sementara itu, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam  kenyataan mengesahkan kejadian.

“Dua pekerja warga Bangladesh yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

“Insiden tidak membabitkan pengguna lebuh raya atau orang awam kerana ia berlaku dalam kawasan pembinaan yang bertutup.

Anggota bomba menangkat mangsa yang cedera untuk diberikan rawatan

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) DASH telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan perancah besi yang terlibat,” kata PROLINTAS yang merupakan pemaju bagi projek DASH.

Sehubungan itu, arahan pemberhentian kerja di tapak pembinaan dikeluarkan serta-merta.

“Pihak pemaju dan kontraktor utama terlibat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan.

“Pihak kami akan mengeluarkan kenyataan susulan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: