"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Kegagalan paling besar PN, gagal sedia cukup vaksin

Yasmin Ramlan

Tidak puas hati dengan isu penyediaan bekalan vaksin negara, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan ia merupakan kegagalan kerajaan PN paling besar.

Menyentuh mengenai keresahan rakyat dengan suasana politik serta kehidupan yang menghimpit sehingga mengundang titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Rana Melayu, Anwar berkata masalah yang dihadapi antaranya terkait dengan masalah Covid-19 di negara ini.

“Kita dah sebut dari awal - PKP, lockdown segala langkah-langkah itu ada kemunasabahannya tapi kita kena mula dengan vaksin.

“Kegagalan paling besar kerajaan adalah penyediaan bekalan vaksin yang secukupnya.

“Mereka (pimpinan kerajaan) membuat kenyataan rambang, ikut selera politik untuk cuba.. saya tak nak sebut penipu tapi tentunya mengelirukan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR yang dilakukan secara maya hari ini.

Ini bukan pertama kali ketua pembangkang itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap isu pemberian vaksin.

Sebelum ini, dia pernah mempersoalkan penghantaran vaksin dari China yang perlahan dan kadar vaksinasi yang lembab.

Kata Anwar lagi hari ini, jika masalah yang sama terus membelenggu negara, mustahil ia dapat diselesaikan sehingga akhir tahun ini.

“Sebab itu kepimpinan ini mempunyai peranan besar dan kalau mereka itu hanya bertugas untuk khianat untuk jawatan tapi gagal menyempurnakan tugas, malapetakanya ditimpa oleh rakyat jelata,” katanya ahli parlimen Port Dickson itu.

Setakat tengah hari semalam, 5,911 jangkitan baru Covid-19 yang dilaporkan, dengan kes baru di Selangor 2,111 dan diikuti oleh Negeri Sembilan dengan angka yang membimbangkan iaitu 770 kes baru.

Bagaimanapun, menurut laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) setakat 18 Jun, 11.59 malam menunjukkan Selangor negeri kedua terendah jumlah divaksinasi (12.79 peratus), manakala Negeri Sembilan dengan kadar 16.26 peratus yang divaksinasi.

Tiada ulasan: