"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Projek 5G: Elak sejarah hitam 1MDB berulang, bentuk jawatankuasa bipartisan di Parlimen untuk pantau

FAIZ FADZIL

Dalam kita menghadapi kebobrokan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari demi hari, kita tidak boleh terlepas pandang satu isu yang sangat besar yang akan memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi negara.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Digital Nasional Berhad (DNB) iaitu syarikat milik penuh kerajaan Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek pembentukan infrastruktur 5G di Malaysia yang dianggarkan bernilai RM15 bilion (termasuk perbelanjaan modal dan kos operasi).

Ini adalah kali pertama kerajaan Malaysia terlibat secara total dalam projek pembangunan infrastruktur tanpa wayar (wireless), yang sebelum ini dijalankan oleh pihak swasta.

Baru-baru ini, Ericsson Malaysia Sdn Bhd telah dipilih oleh kerajaan PN untuk membina infrastruktur 5G ini di seluruh negara. Kos pembinaan ini adalah RM11 bilion.

Walaupun kerajaan mengatakan pemilihan ini berdasarkan tender, tidak kelihatan sebarang ketelusan mengenai pemilihan ini atau cara keputusan dibuat di peringkat tertinggi DNB.

Ini sangat membimbangkan dan kita tidak mahu projek mustahak seperti 5G ini menjadi bermasalah dan sejarah hitam 1MDB berulang.

Justeru, satu jawatankuasa bipartisan Parlimen perlu dibentuk untuk memantau DNB secara berterusan. Jawatankuasa bipartisan yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berupaya memastikan tidak ada isu dalam pelaksanaan tender.

Perlu ada ketelusan mengapa Ericsson dipilih dan bukan syarikat-syarikat lain. Bukan itu sahaja, selepas ini, projek-projek akan mula diberikan untuk membina infrastruktur 5G seperti tiang telekomunikasi dan kabel fiber. Kita tidak mahu projek-projek ini diberikan kepada kroni ataupun individu tertentu, tanpa ada merit yang kukuh.

Memandangkan saiz projek ini yang besar, timbul kerisauan yang kerajaan PN akan menggunakan projek ini untuk “fundraise” bagi PRU-15. Berdasarkan laporan The Star pada 3 Mac lalu, DNB akan “front-load” atau membelanjakan sebahagian besar daripada RM15 bilion ini pada tahun-tahun awal pelaksanaan bermula tahun ini.

Kita tidak mahu projek-projek “subcon” diberikan pada kos lebih tinggi dan lebihan kos ini disalurkan kepada parti pemerintah untuk tujuan dana pilihan raya. Akhirnya, yang akan merana adalah rakyat, kerana terpaksa membayar harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

Projek DNB ini sangat memerlukan perhatian kerana barangkali, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia di mana kerajaan mengambil alih pembinaan infrastruktur 5G.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bercadang untuk melaksanakan projek 5G ini melalui satu konsortium yang dibentuk oleh pemain swasta tetapi dipantau oleh kerajaan. Kaedah itu bukan sahaja telus dan terbuka, malah berupaya mengurangkan birokrasi.

Model DNB yang digunapakai kerajaan PN ini telah dikritik oleh ramai pihak, termasuk Fitch Solutions. Agensi itu berkata model DNB akan menyebabkan kos 5G menjadi lebih mahal kerana tiada unsur persaingan dan adalah centrally-coordinated.

Secara umumnya, model yang diguna pakai oleh kerajaan PN tidak digunakan di negara lain, kerana kerajaan-kerajaan lain sedar akan kelemahannya. Sebab itulah, DNB perlu dipantau oleh satu jawatankuasa bipartisan Parlimen.

Perkembangan projek mega 5G ini harus dilaporkan di Parlimen secara terbuka supaya rakyat dapat menilai sendiri keberkesannya dan ketelusannya terutama dalam pemberian tender-tender dan projek di bawah DNB.

Tiada ulasan: