SITI NUR ZAWANI MISCON
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dianggap sudah kehabisan modal hingga sanggup menuduh Pakatan Harapan (PH) berpakat bersama Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Anwar dalam Siri Jelajah Mega Harapan malam tadi berkata, Hadi Awang sebagai orang yang faham tentang agama tidak seharusnya berbicara hal yang tidak betul, apatah lagi menabur fitnah kepada orang lain.
Beliau juga menuntut Hadi untuk membuktikan dakwaan berkaitan perkara itu sekiranya mengetahui ia ada berlaku.
“Sekarang apabila sudah tak ada modal, kamu kata PH dan Umno berpakat. Pakat apa? Kamu bercakap tentang agama, Islam dan akhlak tetapi mana buktinya?
“Kita lawan dalam pilihan raya, itu tak apa. Tetapi buat apa tabur fitnah?. Kalau kamu orang biasa tak tahu agama tak mengapa, tetapi kamu pakai jubah, serban sampai orang cium tangan tanda hormat tetapi cakap tak betul.
“Mana boleh begitu? Kamu ustaz, tak boleh bohong begitu,” katanya.
Pada masa sama, Anwar juga menegaskan bahawa tiada keperluan untuk PH berpakat dan bekerjasama dengan Umno kerana mengetahui sifat mereka yang jika buat rundingan bersama, pasti mahukan imbalannya.
“Buat apa kita nak runding dengan Umno dan jika buat rundingan, Umno akan tanya (minta jawatan) menteri tertentu.
“Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) sudah berapa lama beri sokongan kepada saya, tetapi tidak pernah sebut mahu tuntut menteri itu dan ini,” katanya lagi.
Hadi Awang mendedahkan satu muslihat antara Umno serta Barisan Nasional (BN) dan PH dalam menghadapi PRU-15 pada 19 November ini.
Menurutnya Umno akan memastikan BN menang kurang kerusi untuk memberi laluan kemenangan besar kepada PH dalam pilihan raya ini.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata strategi berkenaan bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 ini.
Anwar berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana PH bertekad menang sekurang-kurangnya 112 kerusi pada PRU15 dan membentuk kerajaan Persekutuan baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan