FMT Reporters
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong akan ditandingi calon DAP, bukannya Amanah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Dalam 10 hari lepas, kedua-dua parti (DAP dan Amanah) telah memohon dan Majlis Presiden PH yang berbincang setuju agar Changkat Jong kekal dengan DAP.
“Amanah ada berikan hujah yang agak kuat untuk pertahankan Changkat Jong, DAP juga begitu dan setelah ambil kira semua (aspek), keputusan secara konsensusnya diberi kepada DAP,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Beliau berkata, kerusi Parlimen Tapah pula akan ditandingi calon PKR, bukannya Muda.
Katanya, keputusan itu adalah hasil perbincangan pimpinan tertinggi PH semalam yang dihadiri dirinya, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, Setiausaha Organisasi Steven Sim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Amanah Dr Hatta Ramli.
Kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian, selepas Naib Ketua Amanah Perak, Muhaimin Sulam mengumumkan calon parti itu bagi bertanding di kerusi berkenaan.
DAP kemudian mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin dicalonkan di kerusi itu.
Bagi Parlimen Tapah, Anwar berkata, rundingan terakhir semalam memutuskan ia kekal ditandingi PKR bersama beberapa kerusi lain, seperti Sungai Siput dan Sembrong.
Katanya, Naib Presiden PKR, K Saraswathy akan berentap di Tapah, S Kesavan di Sungai Siput dan Sembrong ditandingi Hasni Abas.
“Tadi ada pengumuman di pihak Muda, tetapi perkara itu tidak betul.
“(Presiden Muda) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) telah maklumkan kepada saya bahawa pengumuman itu tidak mewakili Muda.
“Tapah memang kerusi PKR dan untuk kerusi Muda, diputuskan selain Muar, Tanjong Karang dan Tanjung Piai…lain-lain akan diumumkan kemudian.”
Parlimen Tapah merupakan kubu kuat BN yang kini disandang Menteri Sumber Manusia, M Saravanan daripada MIC sejak 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan