N Faizal Ghazali & Alyaa Alhadjri
Amanah bertindak memecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
Setiausaha Agungnya Mohd Hatta Ramli berkata, perkara itu dibuat berdasarkan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b) sekali gus memecat keahlian Adun Alor Mengkudu itu.
"Jawatankuasa Pengurusan Amanah yang bermesyuarat pada hari ini membuat keputusan memecat keahlian Phahrolrazi kerana didapati melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan itu, kata Mohd Hatta, tugas-tugas pengerusi Amanah Kedah akan disandang timbalan pengerusnya Dr Ismail Salleh.
Sementara itu, Phahrolrazi ketika dihubungi Malaysiakini turut mengesahkan perkara itu dan dia enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Sebaliknya katanya, satu sidang media khas akan diadakan petang ini di Alor Setar berkait perkara itu.
Dalam perkembangan sama sumber memaklumkan tindakan terhadap Phahrolrazi itu dibuat susulan isu berkait kerusi yang dipertandingkan pada PRU ke-15 nanti.
Katanya, Phahrolrazi mengingkari keputusan parti yang memberi laluan kepada calon daripada DAP untuk bertanding di Parlimen Jerai.
"Amanah mahukan kerusi Alor Gajah, jadi DAP minta kerusi Jerai dan dia (Phahrolrazi) tak setuju.
"Padahal kerusi Alor Gajah lebih berpotensi untuk menang.
"Adly Zahari nak bertanding di Alor Gajah, lagipun calon DAP (Zulhazmy Shariff) di Jerai mesra Amanah," kata sumber tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan