"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga lelaki dibunuh, mayat ditemui bertindan

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ALLAUDEEN menunjukkan gambar suspek warga Sri Lanka yang dikehendaki dalam kejadian kes bunuh dalam sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
ALLAUDEEN menunjukkan gambar suspek warga Sri Lanka yang dikehendaki dalam kejadian kes bunuh dalam sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Kuala Lumpur: Bunyi jeritan dipercayai pergaduhan membawa kepada penemuan tiga mayat lelaki warga Sri Lanka yang diikat pada tangan dan kaki selain kepala disarung dengan plastik di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, di sini, malam tadi.

Malah, ketiga-tiga mayat lelaki terbabit yang ditemui di dalam stor rumah didapati dalam keadaan bertindan dengan seorang daripadanya bogel.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat pergaduhan di sebuah kediaman di lot rumah kedai empat tingkat terbabit kira-kira jam 11 malam tadi.

"Susulan itu, pasukan kereta peronda polis (MPV) tiba di lokasi rumah terbabit yang terletak di tingkat dua dan melakukan pemeriksaan sebelum menemui tiga mayat lelaki berkenaan.

"Pemeriksaan di rumah menemui sepasang suami isteri warga Sri Lanka masing-masing berusia 40-an yang menyewa rumah berkenaan dan mereka ditahan bagi membantu siasatan.

"Seorang daripada tiga mangsa terbabit adalah anak kepada pasangan suami isteri berkenaan berusia 20-an," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Allaudeen berkata, siasatan awal dilakukan mendapati ketika pergaduhan itu, terdapat dua lelaki warga asing turut berada di rumah berkenaan, namun mereka sempat melarikan diri dari lokasi.

"Difahamkan rumah berkenaan memiliki lima bilik yang menempatkan pasangan suami isteri terbabit, anak mereka dan dua penyewa yang juga mangsa dibunuh dalam kejadian ini.

"Siasatan awal mendapati dua suspek warga Sri Lanka yang menetap di Klang, Selangor, datang ke rumah itu untuk melawat pasangan suami isteri yang dikenali mereka sejak enam bulan lalu.

"Mereka dikatakan tinggal di rumah itu sejak dua hari lalu. Berdasarkan maklumat awal ini, kita percaya jenayah ini dirancang," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap tiga mayat berkenaan mendapati terdapat kesan kelar pada salah satu mayat mangsa.

"Tiada kesan kecederaan ketara pada dua lagi mayat terbabit dan kami ada merampas pisau dipercayai sebagai senjata pembunuhan.

"Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat, hari ini.

"Pasangan suami isteri itu yang tidak bekerja pula direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 September nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, pihak polis masih di peringkat awal untuk merungkai motif kejadian terbabit.

"Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dijalankan dan kami sedang mengesan dua lelaki terbabit yang juga suspek utama.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kedua-dua suspek berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: