"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX pimpin Andrew bersyahadah peluk Islam di New York

Ahmad Zaini Kamaruzzaman
madzaini@mediaprima.com.my
Anwar membantu Andrew Vinals melafazkan kalimah syahadah untuk memeluk agama Islam selepas menyampaikan Khutbah dan Bersolat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York, hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar membantu Andrew Vinals melafazkan kalimah syahadah untuk memeluk agama Islam selepas menyampaikan Khutbah dan Bersolat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York, hari ini. FOTO BERNAMA
New York: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan memimpin syahadah seorang lelaki memeluk Islam selepas menunaikan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), tengah hari semalam.

Ketika Perdana Menteri beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid, pengacara majlis memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai Andrew mahu memeluk Islam dan memintanya tampil.

Kemudian seorang pegawai masjid dilihat menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan pengislaman lelaki berkenaan.

Menurut pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi.

Perdana Menteri adalah pemimpin negara luar pertama diberikan penghormatan menyampaikan khutbah di masjid ICCNY yang bersejarah, iaitu masjid pertama dibuka di kota New York pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selepas selesai solat, pengacara mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sudi menerima jemputan pihak masjid untuk berjemaah dan berkhutbah.

Menurutnya, jemaah masjid amat bertuah kerana Perdana Menteri yang menerima sanjungan di peringkat antarabangsa antarabangsa, terutama dunia Islam hadir berjemaah di masjid berkenaan.

"Kita bersyukur kerana Perdana Menteri Malaysia sudi menerima jemputan dan jemaah berpeluang menemui pemimpin seperti Anwar," katanya.

Sementara itu dalam khutbahnya, Anwar menyarankan umat Islam terus bersatu padu bagi menghadapi cabaran termasuk ancaman terhadap agama oleh golongan Islamofobia.

"Kita disarankan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dan Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam.

"Selain meningkatkan kesepaduan Islam, kita juga perlu memupuk hubungan dengan mereka bukan Islam supaya dapat membantu mereka lebih mengenali Islam " katanya.

Selain itu, beliau meminta umat Islam bukan sahaja mendalami ilmu agama, sebaliknya menimba sebanyak ilmu dan kemahiran bidang teknologi.

Perdana Menteri juga memberitahu mereka mengenai Malaysia Madani yang beliau bentuk selepas menjadi Perdana Menteri berasaskan kerajaan Islam Madinah oleh Nabi Muhammad SAW.

Jemputan menyampaikan khutbah itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sidang media bersama wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia di sini, petang semalam.

ICCNY adalah sebuah organisasi agama dan budaya Islam yang ditubuhkan pada awal tahun 1960-an. Rancangan asal pusat ini adalah menjadi institusi Muslim yang terdiri daripada sebuah masjid, sekolah, perpustakaan, dewan ceramah, muzium, dan rumah untuk Imam.

Objektifnya termasuk melayani komuniti Muslim di Manhattan khususnya dan keseluruhan komuniti Muslim Amerika secara umum.

Antaranya, untuk keperluan keagamaan mereka dan menyediakan tempat ibadah, kelas untuk membantu mereka dan anak-anak mempelajari pengetahuan terperinci tentang agama mereka, Islam dan mencerahkan pendapat awam Amerika Syarikat dengan pengetahuan sebenar mengenai Islam.

Tiada ulasan: