"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Bermula dari media sosial, jenayah seksual pelajar di Kelantan membimbangkan

HARAPAN DAILY

Pembabitan pelajar sekolah di Kelantan dalam jenayah seksual sama ada menjadi mangsa atau pelaku membimbangkan dengan kebanyakan kes bermula hasil perkenalan menerusi laman media sosial seperti WhatsApp dan TikTok.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, 35 kes daripada 188 pelajar bagi tahun ini adalah pelajar sekolah rendah.

Bahkan, tegasnya, lebih membimbangkan terdapat dalam kalangan mereka telah terjebak pada usia muda seawal Darjah Tiga.

“Setengahnya umur terlalu muda, paling muda setakat ini adalah pelajar sekolah sembilan tahun dan kes keseluruhannya pula ada yang umur enam tahun, ini tak sekolah. (Ia) lebih kepada kes amang seksual, cabul dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis memerlukan kerjasama di pihak pendidikan bagi menangani masalah tersebut.

“Kita tidak boleh biarkan dan kita akan bertindak dengan pelbagai cara, sebab itu saya memerlukan pegawai perhubungan sekolah, baik di pihak polis mahupun di pihak pendidikan, mesti sama-sama mencari jalan untuk memberi penerangan (kepada isu) ini,” katanya.

Menurutnya, usaha berterusan akan digerakkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi penerangan terhadap jenayah seksual.

Dalam masa sama, pihaknya juga memandang serius kes buli dalam kalangan pelajar di Kelantan dan mahu ibu bapa memainkan peranan mereka bagi mengekang peningkatan kes terbabit.

Sebanyak 13 kertas siasatan kes buli membabitkan pelajar dicatatkan tahun ini tetapi beliau percaya jumlah tersebut tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan kepada polis.

Tiada ulasan: