"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Individu pertama didakwa menghendap diarah ke hospital mental

Isabelle Leong

Seorang lelaki berusia 37 tahun yang menjadi individu pertama didakwa atas kesalahan menghendap dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Majistret Sasha Diana Sabtu, bagaimanapun mengarahkan Mohamad Safiq Rosli ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Dia menjadi individu pertama yang didapati bersalah mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang baru dipinda berkaitan menghendap.

Undang-undang yang berkuat kuasa pada 31 Mei lalu, mentakrifkan menghendap sebagai  sebarang tindakan gangguan berulang kali yang berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya.

Bagaimanapun, Sasha Diana memutuskan wujud isu ketidakwarasan dan tertuduh tidak menyedari tindakannya melanggar undang-undang apabila dia berulang kali mengintai dan mengganggu jurugambar Acacia Mardiana Daud di media sosial.

Justeru, katanya, walaupun Safiq didapati menghendap, namun mahkamah menerima pengakuan ketidakwarasan tertuduh.

Ini selepas mahkamah mendengar keterangan saksi pembelaan daripada perunding psikiatri forensik Ulu Kinta Dr Ian Llyod Anthony, sebelum ini.

Dr Ian telah mendiagnosis tertuduh sebagai menghidap skizofrenia dan berada di bawah "khayalan cinta" atau erotomania dan "khayalan atau kehebatan" apabila dia melakukan kesalahan itu.

Sasha Diana berkata, peguam bela Fithril Hakim Ab Jalil telah berjaya menunjukkan ketidakwarasan Safiq mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan keterangan saksi pembelaan, dan setelah mempertimbangkan kesihatan mental tertuduh, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh mengikut Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya selepas mendengar hujahan semasa perbicaraan hari ini.

"Dan dengan ini, mahkamah menggunakan Seksyen 348 Kanun yang sama, untuk mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama yang diperkenankan oleh Sultan Selangor," katanya.

Tiada ulasan: