"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB NS: ‘Saya tak dengar pula jika ada ‘Langkah Seremban’

AKMAL MANAF

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan beliau tidak berminat untuk melayan dakwaan gerakan kononnya mahu menjatuhkan kerajaan negeri melalui ‘Langkah Seremban’.

”Saya tidak dengar pula jika ada ‘Langkah Seremban.’ Memang saya tak tahu dan tidak berminat nak layan isu seperti ini.

“Saya yakin dengan Tok Jalal (Datuk Seri Jalaluddin Alias), saya malas nak ulas isu yang tidak pasti seperti ini,” lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada nelayan di Program Penyerahan Bantuan Sara Hidup Nelayan di Auditorium Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, isu berkenaan sengaja diada-adakan bertujuan mengganggu kerajaan negeri.

Terdahulu, Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyangkal dakwaan wujudnya gerakan mahu menjatuhkan kerajaan negeri.

Beliau menyifatkan ianya sebagai provokasi semata-mata dalam usaha menggugat keharmonian kerajaan negeri.

“Jangan buang masa. Sekarang kami dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun) sudah mempunyai persefahaman yang cukup baik untuk menguruskan kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kita telah sebulat suara mahukan Aminuddin sebagai Menteri Besar,” tegas Ahli Parlimen Jelebu itu.

Tiada ulasan: