"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jual derita Gaza

Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my
KELIBAT penuntut yang berada hampir sepanjang masa di stesen minyak untuk menjual pelekat Gaza.
KELIBAT penuntut yang berada hampir sepanjang masa di stesen minyak untuk menjual pelekat Gaza.
Kuala Lumpur: "Saya jual pelekat sokongan Gaza untuk dapat markah tambahan semester ini."

Itu reaksi dan jawapan spontan seorang gadis berusia awal 20-an ketika menghampiri wartawan di sebuah stesen minyak pinggir ibu kota, semalam sambil menjual pelekat kereta sokong Gaza.

Itu bukan kali pertama wartawan dihampiri oleh 'pelajar kolej' malah untuk rekod, sudah tiga kali penulis berdepan dengan penjual pelekat kereta berkenaan dengan alasan hampir sama.

Mereka mendakwa sebagai pelajar sebuah kolej milik sebuah agensi di bawah kerajaan namun gagal mengemukakan sebarang butiran diri atau surat kebenaran aktiviti luar oleh pihak kolej.

Gadis itu juga menyatakan bahawa dia seorang pelajar di kolej sebuah agensi kerajaan dan untuk kepastian, wartawan bertanyakan berhubung kad metrik atau kad perakuan pelajar yang seharusnya dimiliki.

Bagaimanapun gadis terbabit kelihatan panik dan memberi 'alasan' tidak membawa kad berkenaan.

Dia mendakwa tertinggal di kolej kediaman kerana bergegas mahu keluar untuk melaksanakan tugas penjualan pelekat Gaza.

Wartawan bertanyakan apa alasan munasabah untuk seorang penuntut pusat pengajian tinggi menjual pelekat kereta bagi menambah markah mata pelajaran semester ini.

Namun gadis itu gagal memberi jawapan meyakinkan sebaliknya berdalih kononnya wang berkenaan digunakan untuk aktiviti pelajar.

Alasan pertama yang diberikan adalah bagi menambah markah untuk pengajian semester. Bagaimanapun ketika diasak, jawapan bertukar kepada tabung aktiviti pelajar.

Wartawan cuba meninjau di sekitar lokasi stesen minyak itu jika terdapat 'penyelia' kepada pelajar ini namun tidak kelihatan.

Tinjauan wartawan mendapati gadis itu datang bersama dua rakannya termasuk seorang 'pelajar' lelaki yang membawa beg.

Mereka turut menjual pelekat sokong Gaza berkenaan pada harga RM12.

Kali pertama wartawan dihampiri oleh 'pelajar kolej' ini adalah di sekitar stesen minyak di Seremban, Negeri Sembilan dan mereka turut mengaku pelajar kolej dengan menjual pelekat pada harga RM8 untuk dua pelekat.

Situasi kedua wartawan dihampiri oleh pelajar berkenaan adalah di sekitar Cheras dan skrip yang digunakan hampir sama iaitu 'menambah markah pengajian'.

Wartawan cuba bertanyakan kepada pekerja stesen minyak berkenaan dan mereka mengakui sejak kebelakangan ini ada beberapa orang menjual pelekat kereta.

Apa yang mencetuskan rasa curiga wartawan adalah keberadaan mereka hampir sepanjang masa di stesen minyak berkenaan.

Salah seorang pelanggan stesen minyak itu, Mohd Yassin Mohd Noor, 48, berkata, dakwaan kumpulan belia itu diragui berikutan ketika ini penuntut pusat pengajian tinggi sedang sibuk menghadiri kuliah dan bakal menghadapi peperiksaan akhir semester.

"Adakah mereka tidak pergi ke kelas kuliah? setahu saya exam (peperiksaan) akhir semester hampir tiba dan ada antara penuntut sedang study week (minggu untuk belajar sebelum menghadapi peperiksaan).

"Saya bimbang mereka dipergunakan pihak tertentu seperti mana kumpulan kanak-kanak dan remaja tahfiz di Kedah yang sebelum ini diarah menjual minyak angin, kismis dan pelbagai barangan lain di stesen minyak," katanya.

Menurutnya, taktik menjual pelekat Gaza itu pastinya mampu meraih simpati orang ramai apatah lagi serangan terhadap penduduk Palestin masih belum berakhir.

Tiada ulasan: