Shamz Johan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi arahannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya melaksanakan tugas mengutip cukai dengan lebih tegas.
Katanya, ini mesti dilakukan tanpa mengira kedudukan sesebuah syarikat atau pangkat individu itu.
Anwar berkata, masih terdapat syarikat ‘gergasi’ dan ‘naga’ yang masih culas membayar cukai kepada kerajaan.
“(Jika) ada keperluan (untuk LHDN) lebih tegas, ya.. orang yang ada pengaruh dan kedudukan fikir mereka boleh terlepas dari bayar cukai.
"Kita tidak boleh bagi gambaran yang paling atas maha kaya terselamat daripada tindakan, mesti ada kesungguhan bayar cukai.
"Saya selalu sebut, saudara (kakitangan LHDN) jalankan tanggungjawab, apakah dia Ahmad atau Ah Seng atau Tan Sri atau Tun saya tak kira.
“Kalau dia tak bayar cukai… (LHDN) geledah dan ambil tindakan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di Cyberjaya, hari ini.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Anwar dipercayai merujuk kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isterinya Na'imah Abdul Khalid yang baru-baru ini didakwa kerana gagal mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.
Suruhanjaya anti rasuah itu juga sebelum ini mengarahkan anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad - Mirzan dan Mokhzani - untuk mengisytiharkan harta mereka.
Mengimbas sejarah naik taraf LHDN daripada sebuah jabatan kepada agensi pada 1 Mac 1996, Anwar yang ketika itu adalah menteri kewangan, berkata dia menerima laporan terdapat puluhan syarikat gergasi terkenal negara yang sukar dan liat membayar cukai.
"Ada yang bayar setengah, ada yang bayar suku kerana syarikat ini terlalu besar, gergasi, naga... siapa yang berani singgung.
"Mereka (kakitangan LHDN) ketika itu secara berani melaksanakan tugas tanpa mengira gergasi dalam perniagaan dan berjaya mengutipnya, dan mengenang kesungguhan dan risiko yang dihadapi, saya memutuskan menaikkan (status) jabatan menjadi agensi lembaga," katanya.
Anwar pada ucapannya, turut memaklumkan bahawa kerajaan pada masa sama memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan defisit melalui langkah mengurangkan hutang dan amalan tata kelola yang baik.
Katanya, pemimpin negara tidak boleh mewariskan hutang kepada generasi akan datang, yang akan menjadi beban kepada mereka, seperti yang diwarisi kerajaan hari ini.
"Kutiplah hasil banyak mana pun tetapi amalan kita itu kalau boros dan tiris, bebannya kepada generasi akan datang.
“Itu bukan pimpinan yang baik," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan