"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda bakar al-Quran dipenjara tiga setengah tahun

Harapandaily

Seorang pemuda Russia dikenakan hukuman penjara tiga setengah tahun oleh Mahkamah di Grozny, ibu kota wilayah Chechnya, kerana membakar al-Quran.

Nikita Zhuravel, 20, ditahan pada Mei 2023 di bawah undang-undang yang menyinggung perasaan penganut agama.

Dia ditahan selepas membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Volgograd, 800 kilometer dari Grozny.

Namun, penyiasat Russia memindahkan kes lelaki berkenaan ke Chechnya, lapor Reuters memetik agensi berita Russia TASS.

Jawatankuasa Siasatan yang mengendalikan jenayah berat, berkata mereka menerima banyak mesej daripada penduduk Chechnya yang meminta dilantik sebagai pihak yang terkesan dengan tindakan itu.

Chechnya mempunyai ramai penduduk beragama Islam dan pemimpinnya yang pro-Kremlin, Ramzan Kadyrov telah menggambarkan dirinya sebagai pembela agama Islam yang terulung di Russia.

TASS melaporkan Zhuravel mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dan berulang kali memohon maaf di mahkamah.

Lelaki berkenaan menyatakan dirinya tidak memikirkan akibat daripada tindakannya itu.

Jawatankuasa Siasatan berkata tertuduh dibayar untuk membakar al-Quran oleh pasukan perisikan Ukraine.

Russia memperkenalkan undang-undang terhadap individu yang menyinggung perasaan penganut agama pada 2013 sebagai sebahagian daripada tindakan Kremlin ke arah nilai sosial konservatif.

Tiada ulasan: