"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu artikel Hadi, Pesuruhjaya PAS Selangor sahkan terima surat Istana

FMT Reporters
Ab Halim Tamuri enggan mengulas lanjut mengenai surat dari Istana Selangor yang diterima menerusi Setiausaha Sulit Sultan Selangor Muhamad Munir Bani.
PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri mengesahkan menerima surat dari Istana Selangor yang disampaikan melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor Muhamad Munir Bani.

Beliau yang juga Adun Paya Jaras itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai surat berkenaan, sebaliknya hanya mengesahkan menerima surat bertarikh 27 Feb lalu.

“Tiada komen. Saya tidak boleh komen, terima kasih,” jawabnya ringkas kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditangguhkan petang tadi, menurut Berita Harian.

Sebelum itu, beberapa Adun parti kerajaan termasuk Adun Seri Sedang, Abbas Salimmi Che Adzmi, Adun Batu Tiga, Danial Al-Rashid dan Adun Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim mempertikaikan tindakan Ab Halim yang enggan memberi kenyataan berhubung perkara itu.

“Sebagai Adun yang berada dalam negeri Selangor, beliau kena respon cepat mengenai isu ini, bukan dibiar sehingga dua tiga hari begini.

“Kami kesal Adun Paya Jaras tidak buat apa-apa respon ke atas surat yang dikeluarkan oleh istana,” kata Abbas pada sidang media petang tadi.

Terdahulu, Abbas yang diberi laluan mencelah ketika Danial membahaskan titah ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah, mempersoalkan perkara itu pada sidang DUN berkenaan.

Namun, Adun Taman Medan Dr Arif Bahardin dari blok pembangkang terus bangun sambil meminta agar perbahasan diteruskan tanpa membangkitkan isu terbabit.

Menurutnya, perbahasan perlu menjurus kepada menjunjung titah ucapan Sultan berkaitan Sidang DUN Selangor, bukan membangkitkan isu itu.

Hari ini, media melaporkan Sultan Selangor dukacita dengan kenyataan Presiden PAS Hadi Awang dalam artikel berjudul ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’, sambil menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak beradab.

Baginda dalam surat diutuskan kepada Hadi menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.

Tiada ulasan: