"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apalah nasib ‘6 Jahanam’?

Hishamuddin Aun 

Jika hendak dipercayakan cakap-cakap Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sebelum ini, sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat ketika ini sepatutnya sudah bertambah-tambah. Bulan lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mendakwa 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu akan beralih sokongan kepada kerajaan menjelang persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu.

Sebagai menunjukkan cakapnya bukan main-main, Syed Abu Hussin — tergolong dalam kelompok enam Ahli Parlimen Bersatu yang lebih awal menyokong Anwar hingga digelar ‘6 Jahanam’ — siap membayangkan 10 lagi wakil rakyat yang dimaksudkannya itu termasuk lima dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua lagi dari Selangor dan Melaka.

Ini selepas Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanafi menjadi anggota keenam Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar pada 24 Januari lalu sebagai menyusuli langkah serupa tahun lalu oleh Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada 12 Okt, Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Okt, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) pada 7 Nov, Zahari Kechik (Jeli) pada 8 Nov dan Syed Abu Hussin pada 28 Nov.

“Kita tunggu 28 Februari ini, mungkin akan ada beberapa orang lagi yang akan sokong PMX. Sebelum ini, saya umum lapan, campur tiga, campur lima dan semuanya 16 orang. Jadi, kita tunggu dan tengok berapa orang lagi yang akan sokong PMX,” katanya dalam sidang media selepas Program Jualan Rahmah di Changkat Jering, 7 Feb lalu.

Seperti yang kita tahu tiada sesiapa lagi berbuat demikian yang bermakna ramalan Syed Abu Hussin itu meleset. Tidak tahulah jika ada yang akan mengambil langkah itu sepanjang sidang Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung 19 hari hingga 27 Mac. Mungkin satu-satunya penjelasan ketika ini ialah pengumuman Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin pada 29 Jan lalu bahawa parti itu akan mengadakan perhimpunan agung khas meminda perlembagaan parti di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam pada 2 Mac (esok) bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat. Jadi, mereka yang berura-ura untuk turut beralih sokongan, mengambil sikap tunggu dan lihat dahulu.

Ditinjau daripada sumber berbeza-beza, bayangan terhadap pindaan kepada Perkara 10 perlembagaan parti itu juga berbeza-beza di antara turut membabitkan ‘6 Jahanam’ yang didakwa mengkhianati parti meskipun tidak mengumumkan keluar parti dan sebagai satu langkah menghalang perbuatan serupa berulang selepas pindaan itu dikuatkuasakan. Apa pun, sebarang pindaan perlembagaan yang diputuskan dalam perhimpunan khas esok masih tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Bayangan paling hampir diberikan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Mohd Rafiq Abdullah bahawa parti itu dijangka meluluskan pindaan perlembagaan mirip Umno dan DAP bagi mewajibkan wakil rakyatnya mengosongkan kerusi jika menyokong parti lawan, selari dengan Perkara 49A Perlembagaan, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.

“Pindaan kita buat hampir sama dengan Umno dan DAP. Sebagai ahli parti kena akur sebarang keputusan dibuat oleh parti termasuk ‘enam orang’ itu (yang menyokong Anwar),” katanya kepada FMT, 21 Feb lalu. “Mereka yang masih mengaku sebagai ahli parti kena akur perlembagaan telah diubah. Kalau tak setuju boleh keluar parti… maka gugurlah kerusi diwakili,” jelasnya.

Sekiranya mereka enggan mengosongkan kerusi, maka Bersatu akan menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk mengarahkan mereka berbuat demikian. Andainya Bersatu tidak berpuas hati dengan keputusan speaker, maka perkara itu akan dipanjangkan ke mahkamah.

Di samping reaksi Suhaili yang menegaskan hanya speaker Dewan Rakyat dan mahkamah boleh menamatkan riwayat politik beliau serta lima lain yang menyokong Anwar, Johari pula berkata tiada keperluan untuk enam wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi sekiranya mereka menulis kepadanya dengan menyatakan mereka masih ahli parti.

Menghangatkan lagi keadaan, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris kelmarin membayangkan apa juga pindaan perlembagaan akan tetap terpakai kepada ‘6 Jahanam’ yang perlu meletak jawatan sebagai ahli Bersatu jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka sudah menandatangani baiah dan perlu membayar RM10 juta. Menyokong hujah Hamzah sebelumnya, tindakan undang-undang akan diambil ke atas wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan sedia berdepan pilihan raya kecil. Bagaimanapun ada dua persoalan di sini. Pertama, keenam-enamnya tidak mengisytiharkan keluar parti dan kedua, pindaan itu diluluskan hanya selepas mereka menyokong Anwar.

“Saya rasa itu tidak mengikat. Mengikut perlembagaan dia nak ubah patutnya yang ke depanlah, yang ke belakang sepatutnya tidak mengikat,” kata Zulkafperi yang menganggap pindaan dicadangkan itu hanya bertujuan menakut-nakutkan wakil rakyatnya yang berkira-kira mengalih sokongan seperti didakwa Syed Abu Hussin bulan lalu. Beliau yakin keputusan parti mahu meminda perlembagaan tidak terpakai kepadanya termasuk lima Ahli Parlimen lain.

“Tidak betul itu,” kata Ahli MPT Bersatu Dr Afif Bahardin pada 1 Feb lalu kerana pindaan itu akan membuat ‘6 Jahanam’ terpaksa mengosongkan kerusi masing-masing. Tambahnya, parti itu akan menggunakan segenap ruang undang-undang dan politik untuk memaksa mereka berundur. Sama seperti dinyatakan Razali sebelumnya, maksud Afif itu ialah partinya akan mengheret isu itu ke mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian yang dihasratkan mereka.

“Keenam-enam Ahli Parlimen itu masih ahli parti walaupun mereka menyatakan sudah menyokong Perdana Menteri, jadi sebarang pindaan yang dibuat nanti akan terpakai kepada mereka. Persoalan sama ada mereka sudah menyokong kerajaan perpaduan sebelum pindaan dibuat, tidak timbul selagi mereka masih anggota parti,” tegas Razali sambil menambah tindakan undang-undang akan lebih mudah diambil selepas pindaan perlembagaan itu dibuat. Ringkasnya, Bersatu mahu keenam-enam Ahli Parlimen itu dikosongkan kerusi mereka sebagai hukuman kepada pengkhianatan yang didakwa mereka lakukan.

Setakat ini, keenam-enamnya sudah menyatakan pendirian untuk tidak menarik balik sokongan terhadap Anwar dan sedia berdepan apa saja kemungkinan. Dua daripada mereka — Syed Abu Hussin dan Mohd Azizi — semalam menyatakan bersedia mengosongkan kerusi jika pindaan perlembagaan esok melarang mereka menyokong lawan tanpa persetujuan parti. Tambahan, keenam-enamnya bersepakat bahawa mereka memberi sokongan kepada perdana menteri secara rela hati tanpa dipengaruhi sebarang unsur pujukan atau habuan.

“Daripada kami tarik balik sokongan kepada Anwar dan kembali menyokong asal (Bersatu) yang tak boleh buat apa-apa, kami rela rakyat buat keputusan. Kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk mengosongkan kerusi,” kata Syed Abu Hussin pada sidang media di Parlimen.

Ia kelihatan akan menjadi satu pertikaian panjang dan tidak semudah diselesaikan oleh satu perhimpunan khas meminda perlembagaan semata-mata.

Tiada ulasan: