"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Presiden Pas sedang dalam siasatan - PDRM

AKMAL MANAF

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, pihaknya masih belum merakam percakapan Abdul Hadi atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan ketika ini.

“Kita (polis) telah buka kertas siasatan membabitkan kenyataan dikeluarkan beliau dan masih menunggu waktu yang sesuai untuk panggil dan ambil keterangan Abdul Hadi.

“Keterangan beliau (Abdul Hadi) masih belum diambil memandangkan keadaan kesihatan beliau yang tidak begitu baik,” katanya dipetik Harian Metro.

Semalam Harian Metro melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Marang itu yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi itu bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ pada 20 Februari lalu di laman sesawang https://pas.org.my/.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita menerusi surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Antara intipati surat berkenaan, baginda menyifatkan Abdul Hadi yang membuat kenyataan terbuka di media sosial itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Tiada ulasan: