"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Yusuf Islam cadang buka ‘Peace Train’ di Malaysia

Bernama
Yusuf Islam, pemuzik Britain yang dahulunya dikenali sebagai Cat Stevens berharap Peace Train cawangan Malaysia boleh ditubuhkan tahun ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Yusuf Islam, pemuzik Britain yang dahulunya dikenali sebagai Cat Stevens, merancang menubuhkan sebuah pertubuhan amal, Peace Train di Malaysia, tidak lama lagi.

Penyanyi dan penulis lagu itu berkata, beliau memilih Malaysia sebagai cawangan bagi menubuhkan Peace Train pertama di luar negara, kerana imej negara ini.

“Peace Train ialah organisasi aktif yang menghantar makanan ke pihak perbandaran, kem pelarian dan kadangkala ke sekolah.

“Di UK (United Kingdom), kami membantu banyak kanak-kanak yang sangat miskin. Ini jenis projek yang kami lakukan, berdasarkan ajaran Nabi Muhammad untuk memberi makan kepada orang ramai dan menyebarkan keamanan,” katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada pertubuhan amal itu akan ditubuhkan pada tahun ini, beliau menjawab: “Ya, jika kita boleh melepasi kerenah birokrasi.”

Yusuf berkata, beliau telah menyampaikan rancangan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Beliau (Anwar) sangat mengalu-alukan. Beliau sedang menunggu stesen (Peace Train) dibuka,” katanya.

Sejak April 2020, Peace Train telah menyediakan hampir empat juta makanan di UK dan di luar negara.

Peace Train ialah lagu ciptaan pada 1971 oleh Cat Stevens yang diambil dari album Teaser and the Firecat.

Lagu itu melonjak naik ke No 7 carta Billboard Hot 100 AS pada minggu 6 Nov 1971, sekali gus ia menjadi lagu terbaik dalam US Top 10 hit.

Penyanyi itu memeluk Islam pada 23 Dis 1977, dengan menukar nama kepada Yusuf Islam pada 1978.

Tiada ulasan: