"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis: Mahu jadi jaguh orang Melayu, Hadi salah ‘hitung’

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Seorang penganalisis berpendapat presiden PAS tersilap “perhitungan” sekiranya menganggap keberaniannya mengkritik institusi diraja mampu membantu meraih lagi sokongan pengundi Melayu.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, berkata sebaliknya tindakan Hadi Awang itu menimbulkan stigma negatif kerana sebahagian besar orang Melayu melihat perkara berkenaan sebagai sensitif.

“Mungkin Hadi berpendapat sokongan Melayu terhadap PAS adalah begitu kuat sekali iaitu sebanyak 80%, dan menganggap kritikan itu mampu meraih lagi baki 20% undi Melayu kerana menjadi jaguh mereka untuk memperjuangkan Islam.

“Beliau mungkin terpesong dalam pemikiran bahawa orang Melayu ini tidak sensitif dengan institusi monarki dan tindakan PAS mengkritik institusi diraja ini boleh diterima mereka. Sudah pasti konotasi negatif itu akan beri tempias kepada PAS,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, melihat PAS semakin hilang sokongan dan dukungan sekiranya berterusan menggunakan pendekatan mengheret Raja dan Sultan dalam polemik politik.

Beliau turut berpendapat presiden PAS itu perlu memohon maaf secara terbuka kepada institusi diraja dalam masa terdekat.

“Untuk mendapat sokongan rakyat dan pemerintah seperti Raja-Raja, PAS perlu ubah pendekatan dan berani menegur pemimpin parti agar tidak menyinggung institusi diraja.

“Ia bukan sahaja merimaskan orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada Khamis, media melaporkan Sultan Selangor dukacita dengan kenyataan Hadi dalam artikel berjudul ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’, sambil menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak beradab.

Baginda dalam surat diutuskan kepada Hadi menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.

Hadi dalam artikel diterbit pada 20 Feb, mengingatkan penganut Islam khususnya hakim dan peguam termasuk Ahli Parlimen dan Adun, bahkan Raja-Raja supaya “berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana”.

Pada 9 Feb, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dengan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

Tiada ulasan: