"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gaduh luar kilang, sembilan termasuk warga China ditahan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular menunjukkan pergaduhan yang berlaku di luar sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.
TANGKAP layar video tular menunjukkan pergaduhan yang berlaku di luar sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.
Kota Kinabalu: Sembilan pekerja kilang termasuk lima warga China ditahan hari ini, dipercayai terbabit pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, semalam.

Kejadian yang tular di media sosial itu dilapor berlaku di hadapan sebuah kilang milik syarikat luar negara, kira-kira 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, susulan laporan, semua suspek berjaya ditahan pihaknya pada 3.30 pagi, hari ini.

Katanya, tangkapan membabitkan empat lelaki tempatan dan lima warga asing untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal, kejadian dikatakan berlaku ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar selepas tamat masa bekerja, dengan seorang suspek warga China dikatakan melanggar bahu seorang pekerja tempatan, namun ia tidak diendahkan.

"Bagaimanapun, seorang lagi pekerja warga China tiba-tiba menjerit dan menunding jari ke arah pekerja tempatan terbabit sebelum mengajaknya keluar untuk bergaduh di luar kawasan kilang, sambil memegang sebatang kayu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pekerja tempatan itu tidak mengendahkan ajakan pekerja asing berkenaan, namun sebaik berada di luar kilang, mangsa tiba-tiba ditumbuk dari belakang.

Katanya, kejadian mendorong berlaku pergelutan dan menjadi huru-hara apabila disertai lebih ramai individu daripada kedua-dua belah pihak, selain membabitkan penggunaan kayu dan besi.

Menurutnya, pergaduhan itu dileraikan pengawal keselamatan dan pekerja lain, serta setakat ini tiada kecederaan serius dilapor daripada kedua-dua pihak.

Tiada ulasan: