Fahmy A Rosli
fahmy.azril@bh.com.my
KUALA LUMPUR: "Ucapan saya hari ini lebih halus, harap tiada yang tersinggung dan jaga-jaga" Demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.
Sehubungan itu, baginda berharap agar tiada siapa 'terasa' dengan kata-katanya sambil memberi peringatan kepada pihak berkenaan supaya lebih berwaspada.
"Saya adalah orang baharu di sini dan belum sampai satu bulan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu banyak perkara yang saya kena belajar.
"Ucapan saya hari ini lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan di Johor. Saya bagi peluang supaya tidak ada yang tersinggung tetapi akan datang harap-harap berjaga-jaga," titah baginda.
Menurut baginda, seperti pemerintahan Yang di-Pertuan Agong lalu, amanah yang dipikulnya ketika ini mengikut Perlembagaan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.
Oleh yang demikian, baginda berjanji akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memelihara kemakmuran, kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.
"Pada kesempatan ini, saya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara serta rakyat jelata selama lima tahun yang lalu, dengan adil dan bijaksana.
"Insya-Allah dengan limpah kurnia serta izin-Nya, saya akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas serta meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran negara, kesejahteraan hidup rakyat membela nasib rakyat.
"Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah raja-raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa terpelihara," titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan