"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua rakan mengaku pecah cermin kereta wanita guna kayu besbol

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Azrizan diiringi polis selepas didenda RM1,000 kerana pecah cermin kereta wanita menggunakan kayu besbol. FOTO Alias Abd Rani
Azrizan diiringi polis selepas didenda RM1,000 kerana pecah cermin kereta wanita menggunakan kayu besbol. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Dua sahabat didenda RM1,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan khianat menggunakan kayu besbol hingga pecah cermin kereta seorang wanita, awal bulan ini.

Tertuduh, Hishamuddin Sezali, 35, dan Azrizan Ishak, 43, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan khianat itu dengan memecahkan cermin hadapan di Jalan Besar, Parit Raja, jam 4.30 pagi, 2 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama, penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa mengejar kereta dipandu wanita itu sehingga ke Parit Raja.

Sebelum insiden itu, mereka dilaporkan berselisih dan kemuncaknya apabila kedua-dua tertuduh mengeluarkan kayu besbol lalu menghentak cermin kereta mangsa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Mohd Sharip manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hishamuddin turut dituduh mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah.

Sementara itu, ketika diberi peluang membuat rayuan, kedua-dua tertuduh mahu hukuman denda paling minimum dikenakan kerana sedar kesilapan dilakukan.

"Kami mengakui kesilapan dan mohon mahkamah mempertimbangkan hukuman paling rendah. Kami perlu menanggung keluarga serta ibu bapa," katanya.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kes yang serius.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 setiap seorang dan memerintahkan hukuman penjara sebulan jika gagal membayarnya.

Tiada ulasan: