"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kisah Subsidi: Antara manfaat dan beban

Yeoh Guan Jin
Pemilik kenderaan persendirian seperti trak pikap yang menggunakan diesel tidak lagi menikmati subsidi bahan api hujung tahun ini. (Gambar Bernama)

Bagi pembuat dasar di Malaysia, subsidi adalah satu keperluan.

Berbilion ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik meneruskan kehidupan.

Tetapi subsidi juga adalah alat politik. Kerajaan menggunakannya dengan baik bukan saja untuk memenangi undi malah mengukuhkan asas sokongan mereka dengan terus meningkatkan jumlahnya.

Bagaimanapun, ia menjadi beban besar kepada belanjawan negara, menjadikannya seperti bom jangka melainkan langkah diambil untuk menanganinya.

Kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap dapat mencapainya melalui pelan rasionalisasi subsidi menyeluruh diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu.

Kos

Di Malaysia, kerajaan memberi subsidi kepada perbelanjaan rakyat untuk barangan keperluan seperti ayam, telur, beras, beberapa jenis minyak masak, utiliti seperti elektrik dan bahan api.

Bawah Belanjawan 2024, kerajaan mengurangkan peruntukan subsidi sebanyak 10%. Namun demikian, ia masih mencecah RM58 bilion, menjadikannya komponen kedua terbesar dalam perbelanjaan selepas gaji.

Bahan api menyumbang bahagian terbesar dalam peruntukan subsidi. Pada 2022, kerajaan membelanjakan lebih RM90 bilion untuk subsidi dan 53% daripadanya digunakan untuk bahan api, terutama diesel dan petrol RON95.

Untuk rekod, subsidi untuk RON97 dihapuskan pada 2010.

Walaupun ini menjadikan harga petrol di Malaysia antara terendah di Asia Tenggara, ia juga menjadikan negara sebagai “syurga” bagi penyeludup bahan api.

Rasionalisasi subsidi bahan api

Pengguna kini membayar RM2.15 seliter untuk diesel dan RM2.05 bagi RON95.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 September tahun lalu, kerajaan mengumumkan pelan rasionalisasi subsidi untuk diesel tahun ini. Perkara sama dijangkakan bagi RON95, mungkin akhir tahun ini, walaupun belum ada pengumuman dibuat.

Data rasmi menunjukkan harga pasaran diesel ialah RM3.43 seliter pada 24 Mac 2024. Bagaimanapun pengguna membayar RM2.15, manakala kerajaan menanggung baki RM1.28 melalui subsidi.

Selain daripada penjimatan besar akan diperoleh kerajaan daripada pemansuhan subsidi, rasionalnya ialah dengan harga lebih tinggi ia akan menjadi kurang menguntungkan untuk mengambil risiko menyeludup komoditi itu merentasi sempadan.

Dianggarkan pada 2023, kerajaan membelanjakan kira-kira RM39 juta sehari hanya untuk subsidi diesel. Ia mencecah RM1.2 bilion sebulan atau RM14 bilion setahun.

Penjimatan daripada rasionalisasi boleh dialihkan untuk memenuhi keperluan lain seperti pemberian tunai kepada mereka yang memerlukan dalam usaha membantu membiayai kenaikan kos diesel.

Pengecualian

Bawah usaha rasionalisasi, pengecualian dibuat bagi pengguna terpilih.

Sebagai contoh, perniagaan yang memiliki kenderaan komersial menggunakan diesel akan terus menerima subsidi bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Mereka yang juga akan mendapat manfaat daripada sokongan atau bantuan tambahan ialah penyedia perkhidmatan pengangkutan dan kategori nelayan tertentu.

Ini bagi memastikan perniagaan tidak bergantung kepada peningkatan harga diesel untuk menaikkan harga barangan pengguna.

Langkah itu juga akan memastikan sebarang kenaikan kadar inflasi adalah minimum.

Pulangan balik

Perlu dijelaskan walaupun pemansuhan subsidi untuk bahan api memberi kesan bagi sesetengah pihak namun ia akan membawa pelbagai faedah.

Seperti ditegaskan Anwar pada minggu lalu, rakyat Malaysia yang kaya serta 3.5 juta hingga empat juta warga asing tinggal dan bekerja di Malaysia turut mendapat manfaat daripada program subsidi menyeluruh untuk bahan api.

Mengecualikan subsidi kepada mereka secara langsung akan menghasilkan penjimatan kewangan yang besar dan boleh dialihkan untuk menampung pemberian tunai bagi kumpulan B40.

Satu lagi faedah subsidi bersasar, seperti dinyatakan Penganalisis BIMB Securities Research Amiratul Husna adalah ia boleh membantu mengurangkan pembaziran.

Beliau berkata, langkah itu juga akan memastikan sokongan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

Kad Fleet, yang diperkenalkan untuk sembilan kategori kenderaan bawah SKDS 2.0 pada Mac, akan digunakan oleh pengguna yang layak bagi membeli diesel.

Dengan melaksanakan pengurusan subsidi diesel secara digital, kerajaan bukan saja akan meningkatkan kecekapan tetapi menangani masalah penyeludupan.

Tiada ulasan: